PUTRAJAYA: Sebanyak 88 peratus jumlah kematian akibat Covid-19 membabitkan pesakit yang ada satu atau lebih penyakit komorbid berbanding kes kematian tanpa komorbid.
Angka tersebut sekali gus menunjukkan mereka yang mempunyai penyakit komorbid berisiko mendapat jangkitan lebih teruk sehingga membawa kepada kematian.
Komorbid adalah istilah perubatan merujuk kepada individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak dan berisiko tinggi mendapat banyak komplikasi atau kesan sampingan jika dijangkiti Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sejak Januari 2020 hingga 5 Jun lalu, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini mencatatkan 3,291 kes dengan kadar kematian 0.54 peratus.
Menurut beliau, analisis menunjukkan jumlah kes kematian itu meliputi 2,870 kes membabitkan dalam kalangan pesakit yang ada satu atau lebih komorbid.
“Antara komorbid yang tertinggi berkaitan dengan kematian Covid-19 adalah tekanan darah tinggi (64 peratus), penyakit kencing manis (49 peratus), penyakit buah pinggang kronik (20 peratus), penyakit jantung (19 peratus) dan selebihnya komorbid lain,” kata beliau di sini semalam.
Adham berkata, Kementerian Kesihatan mengambil berat situasi tersebut, namun pihaknya dengan kerjasama semua agensi akan terus berusaha mengekang penularan jangkitan dalam negara.
Katanya, setiap individu termasuk yang ada faktor komorbid, dikehendaki terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pantau kesihatan kendiri di rumah dan jika tidak sihat segera membuat pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan.
“Kementerian Kesihatan juga menyeru agar individu yang layak untuk imunisasi vaksin Covid-19 mendaftar dan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada tarikh ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai jangkitan ‘kulat hitam’ dikenali sebagai mucormycosis yang menyerang pesakit Covid-19, Adham berkata, sehingga kini, tiada laporan diterima dikaitkan dengan kejadian jangkitan penyakit itu di negara ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya akan terus memantau kejadian jangkitan penyakit yang jarang berlaku tetapi boleh mengakibatkan maut yang disebabkan jangkitan fungus (kulat).
Katanya, ia biasa menjangkiti orang yang mempunyai daya tahan (imuniti) lemah terutamanya bagi individu menghidap diabetes yang tidak terkawal.
Beliau memberitahu, India melaporkan peningkatan kejadian penyakit itu semasa gelombang kedua Covid-19 di negara tersebut seperti dikaitkan dengan penyakit diabetes yang tidak terkawal.
“Ini termasuk penggunaan corticosteroids yang meluas untuk rawatan penyakit-penyakit akibat kurang daya tahan badan (immunosuppression) dan mereka yang menerima rawatan dalam tempoh lama di unit rawatan ,” katanya. – UTUSAN











