PETALING JAYA: Peruntukan dana di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat kepada RM34.9 bilion susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026.
BNM berkata, jumlah berkenaan merangkumi peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion yang disuntik ke dalam Dana BNM sedia ada dengan tumpuan saluran dana kepada peminjam kali pertama.
“Setakat ini, BNM telah menyediakan pembiayaan konsesi sebanyak RM32.4 bilion bagi menyokong akses pembiayaan PKS melalui institusi kewangan peserta.
“Ini khususnya PKS yang berdaya maju namun menghadapi kekangan pembiayaan,” katanya dalam kenyataan.
Bank pusat itu berkata, pada masa hadapan, BNM akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan sasaran pembiayaan yang dijamin sebanyak RM10 bilion.
“Peralihan kepada skim jaminan kredit bertujuan untuk menghasilkan impak yang lebih tinggi menerusi manfaat kepada segmen PKS yang lebih luas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu.
“Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan institusi kewangan,” ujarnya. – UTUSAN









