SAYA tertarik dengan pandangan Pakar Ekonomi, Pusat Pasaran Buruh Masa Depan yang mengusulkan penjenamaan pekerja pencuci kepada operator atau pakar pencucian. Usaha ini pernah dijalankan. Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan untuk pekerja pembersihan dinamakan Operator Kebersihan, Operator Kanan Kebersihan dan Penyelia Kebersihan untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3.
Menarik minat pekerja tempatan bukan hanya setakat penjenamaan jawatan tersebut sebaliknya turut melibatkan faktor gaji, pandangan masyarakat umum terhadap pekerjaan tersebut dan penghormatan kontraktor terhadap pekerja-pekerjanya.
Segelintir kontraktor lebih mengejar kontrak dan keuntungan dalam masa sama mengabaikan hak serta kebajikan pekerja. Manakala segelintir pelanggan lebih mengutamakan harga terendah tanpa mengambil kira kos tenaga pekerja yang perlu ditanggung kontraktor.
Gaji minimum pekerja RM1,700, caruman wajib ditanggung kontraktor termasuk peruntukan cuti tahun berbayar ialah RM305. Ini bermakna kos seorang pekerja pencuci ialah RM2,005, tidak termasuk kos mesin, bahan kimia, perkakas dan peralatan serta keuntungan kasar kontraktor.
Bagaimana pelanggan boleh menerima tawaran kontrak dengan harga antara RM2,000 hingga RM2,200 seorang pekerja sedangkan kos tenaga pekerja sahaja mencecah RM2,005? Di mana peruntukan untuk kos mesin, bahan kimia, perkakas, peralatan dan untung kasar kontraktor?
Saya bersetuju dengan cadangan mewajibkan latihan untuk pekerja-pekerja pencuci. Persoalannya, siapa yang akan menguatkuasakannya? SKM untuk servis pembersihan wujud sejak 2009. Sehingga hari ini hanya 100 lebih pekerja pencuci yang mempunyai SKM.
Begitu juga dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan latihan pekerja melalui sumbangan wajib Tabung Pembangunan Sumber Manusia. Bukan sahaja terdapat kontraktor yang gagal menyumbang, bahkan ada yang menyumbang tetapi masih gagal melatih pekerja-pekerjanya.
Tanpa penguatkuasaan, kebanyakan kontraktor akan mengabaikan latihan untuk pekerja-pekerjanya. Perbelanjaan untuk melatih pekerja dianggap sebagai kos bukan pelaburan. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewajibkan kontraktor yang ditawarkan kontrak pembersihan menjalankan program latihan untuk pekerja-pekerja dalam tempoh percubaan, sebelum kontrak dimuktamadkan.
Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) kecewa apabila kerajaan mengetepikan sektor pembersihan dalam projek rintis ‘gaji progresif’ yang menawarkan insentif syarikat melatih pekerja-pekerjanya. Ia memberi gambaran seolah-olah pekerja pembersihan tidak perlu dilatih. Antara alasan yang diberikan, kesukaran mengukur peningkatan produktiviti pekerja pembersihan melalui latihan, di samping kurangnya program latihan pembersihan yang ditawarkan.
Sekiranya pihak yang berkenaan mendapatkan pandangan dari MACM, sudah tentu kami dapat menerangkan kaedah terperinci untuk mengukur produktiviti pekerja, di samping menyenaraikan program-program latihan pembersihan yang dijalankan.
Persoalan utamanya ialah sejauh mana kita menghormati pekerja pencuci? Hormatkah kita kepada pekerja pencuci jika hak dan kebajikan mereka diabaikan? Hormatkah kita kepada pekerja pencuci, jika keutamaan kita ialah harga yang terendah dan mengetepikan kos tenaga pekerja yang perlu ditanggung oleh kontraktor, menyebabkan penganiayaan pekerja? Selagi kita tidak menghormati pekerja pencuci dalam erti kata yang sebenar, namakan jawatan tersebut sebagai pakar atau jurutera pembersihan sekalipun, belum tentu menarik minat pekerja tempatan.-UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)










