KUALA LUMPUR: Kemunculan Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 esok akan menentukan sama ada pemain itu mampu kembali kepada prestasi terbaiknya selepas pulih daripada kecederaan panjang.
Ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam, dalam nada jujur dia sendiri kurang pasti sama ada mampu memberikan prestasi 100 peratus atau pun sebaliknya ekoran terlalu lama berehat.
“Dari segi fizikal dan mentaliti, pasukan saya berikan lampu hijau untuk saya keluar sertai kejohanan, jadi sudah tentu semua orang pun tahu saya akan bertanding dalam keempat-empat kejohanan pada Januari ini.
“Memang sukar bagi saya, tapi ini macam satu ujian untuk saya sama ada saya cergas untuk kembali ke gelanggang,” katanya.
Zii Jia yang masih mendapat perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) layak untuk bertanding pada Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000.
Ekoran perlindungan yang diterimanya, Zii Jia yang merudum ke tangga ke-144 dunia, layak untuk beraksi pada Terbuka Malaysia kerana kedudukannya sebelum ditimpa kecederaan adalah di tangga No. 8.
Menurut Zii Jia, dia memilih Terbuka Malaysia untuk menjadi kejohanan sulungnya selepas berehat panjang adalah disebabkan kutipan mata yang banyak untuk memperbaiki segera ranking semasanya.
“Ranking saya memang dah jatuh banyak. Jadi mahu tak mahu, saya kena keluar bertanding untuk ranking saya. Sudah tentu ada tekanan sikit, tetapi, saya sasarkan untuk kembali ke dalam kelompok 20 terbaik atau 15 terbaik dunia kalau boleh,” katanya.
Zii Jia berkata, memandangkan tahun depan kelayakan Sukan Olimpik akan bermula, menjadi kewajipannya menyusun perancangan lebih awal agar sasaran yang diletakkan dapat dicapai.
Mengulas pula mengenai proses pemulihan yang dilaluinya, pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan, sepanjang tempoh berehat, dia tidak menjalani sebarang pembedahan bagi menyembuhkan masalah kecederaan belakang yang dialaminya.
“Memang ada doktor yang cadangkan pembedahan. Kalau pembedahan, saya rasa anda semua tak akan nampak saya dekat sini lagilah.
“Saya rasa ia mungkin ambil masa lebih lama untuk pulih. Malah saya pun tak jamin sebab pembedahan kita tak tahu apa kesannya dan pembedahan tidak berada dalam perancangan saya,” katanya.
Bercakap pula tentang pemain India, Ayush Shetty yang bakal ditemuinya pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, Zii Jia berkata, dia enggan berfikir terlalu jauh dan berehat lama kerana kecederaan juga bukan alasannya kerana apa yang pasti persembahan terbaik menjadi hajatnya untuk meneruskan kemaraan. – UTUSAN










