HULU TERENGGANU: Tempoh tahanan reman ke atas seorang peguam disambung empat hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeludup dadah ke dalam Penjara Marang.
Perintah lanjutan tempoh tahanan reman itu dibenarkan oleh Majistret Nur Athirah Hashim terhadap lelaki berusia 32 tahun tersebut bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kegiatan banduan menyeludup puluhan ketulan dadah ke dalam Penjara Marang terbongkar selepas pemeriksaan keselamatan menemukan bahan terlarang itu dalam badan banduan terbabit yang dipercayai dibawa masuk dengan bantuan seorang peguam.
Menurutnya, kes itu membabitkan seorang banduan lelaki berusia 25 tahun dan seorang peguam yang ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat.
Beliau berkata, kejadian dikesan pada 23 Disember lalu kira-kira pukul 5 petang ketika pegawai kanan penjara menjalankan pemeriksaan penerimaan terhadap banduan terbabit yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Katanya, pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan berkenaan sebelum dia diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi klinik penjara.
Ujarnya, pada hari sama banduan terbabit membuang air besar dan mengeluarkan sebanyak 12 ketulan yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda serta ganja, sebelum mengeluarkan lagi 14 ketulan disyaki mengandungi pil kuda dan Erimin 5 pada keesokannya.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 123 gram pil yaba, ganja (21 g) dan Erimin 5 (13 g) dengan nilai rampasan dianggarkan RM16,000 yang mampu digunakan kira-kira 800 penagih.
Peguam berkenaan kemudian ditahan di Jalan Hiliran, Pulau Kambing Kuala Terengganu kira-kira 10.45 pagi pada 29 Disember lalu.
Mahkamah Majistret Marang pada 30 Disember lalu membenarkan perintah reman selama enam hari terhadap peguam terbabit bagi membantu siasatan kes berkenaan. – UTUSAN










