Arif Aiman sebaris bintang bola sepak dunia

Arif Aiman sebaris bintang bola sepak dunia

Arif Aiman Hanapi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Arif Aiman Hanapi terus mencuri perhatian apabila pemain sayap Johor Darul Ta’zim itu diiktiraf antara pemain dengan jumlah dribble tertinggi sepanjang musim 2025, sekali gus meletakkannya setaraf dengan sensasi muda Barcelona, Lamine Yamal.

Pengiktirafan itu berkenaan bukan sekadar statistik kosong, sebaliknya mencerminkan kualiti teknikal, keberanian serta kematangan permainan yang semakin menyerlah dalam diri pemain berusia 22 tahun itu, sekali gus mengangkat statusnya sebagai antara aset paling bernilai bola sepak negara ketika ini.

Berdasarkan data Sofascore.com, Arif Aiman berada di kedudukan keempat keseluruhan, hanya di belakang Lamine Yamal serta dua lagi pemain Amerika Selatan, Guilherme Smith dan Jose Mario Pinto, dalam senarai pemain dengan dribble paling berjaya musim ini.

Lebih membanggakan, pencapaian tersebut meletakkan Arif Aiman dalam kelompok elit yang turut dihuni bintang Manchester City, Jeremy Doku, sekali gus membuktikan pemain tempatan mampu bersaing di pentas statistik dunia.

Gaya permainan Arif Aiman yang lincah, berani mencabar pertahanan dan kreatif di zon serangan sering menjadi nadi utama JDT, selain mencerminkan evolusi pemain sayap moden yang tidak lagi bergantung semata-mata kepada kepantasan.

Bagaimanapun, cabaran sebenar buatnya adalah mengekalkan konsistensi dalam perlawanan berintensiti tinggi, di samping terus memperhalusi sentuhan akhir termasuk hantaran terakhir dan penyudah di hadapan gawang.

Lebih malang, Arif Aiman turut menerima tamparan kecil apabila pemain itu disahkan mengalami kecederaan hamstring pada Disember lalu, yang memaksanya berehat kira-kira tiga bulan bagi menjalani proses pemulihan sepenuhnya.

Sekiranya kembali cergas dan meneruskan trajektori positif ini, Arif Aiman bukan sahaja kekal sebagai tonggak utama Harimau Malaya, malah berpotensi membuka lembaran baharu dalam kerjaya antarabangsa yang lebih besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×