TAHUN baharu biasanya dimulakan dengan azam baharu. Masing-masing bercakap tentang harapan baharu, semangat baharu dan impian baharu.
Namun, di sebalik azam tahun baharu yang sering berkisar tentang kesihatan, kewangan dan kerjaya, apa kata rakyat Malaysia daripada pelbagai usia dan latar belakang sama-sama menjadikan amalan membaca sebagai azam baharu?
Kita sedia maklum, membaca merupakan teras kepada perubahan diri dan masyarakat. Itulah juga sebabnya pelbagai kempen galakan membaca dianjurkan khususnya oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Sebagai seorang pengkaji dan penulis, tentulah saya membaca setiap hari. Saya juga menggalakkan peserta bengkel penulisan supaya menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya.
Pada masa sama, tentulah tidak adil untuk mengharapkan semua orang dalam bidang kerjaya lain melakukan perkara sama sebagaimana golongan penulis dan pengkaji. Tentulah masing-masing ada cara dan minat tersendiri.
Tambahan pula, dengan perkembangan teknologi dan populariti media sosial, kita terpaksa akui kanak-kanak mahupun remaja masa kini lebih banyak tertumpu kepada media berbentuk audio serta visual berbanding membaca, termasuk skrin komputer dan telefon bimbit.
Membaca bukan sekadar proses mengenal huruf atau mengejar jumlah buku yang dibaca dalam setahun. Sebaliknya, merupakan perjalanan batiniah dan intelektual yang perlu dilakukan dengan sepenuh hati dan penuh keikhlasan.
Individu yang gemar membaca, sama ada karya fiksyen atau bahan bacaan ilmiah, pasti bersetuju jika dikatakan proses membaca adalah satu bentuk penghijrahan minda yang memungkinkan kita memahami dunia, diri sendiri dan orang lain dengan lebih jujur.

MEMAHAMI MINAT EMPAT KELOMPOK
Maka, dalam semangat menyambut tahun baharu, kita wajar meneliti cara mendekatkan empat kelompok masyarakat kepada buku dan bacaan. Golongan yang dimaksudkan ialah kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.
Kanak-kanak bukan sahaja perlu dibiasakan dengan buku sejak usia awal malah perlu dipupuk rasa cinta dan keghairahan terhadap bahan bacaan. Cerita yang bukan sahaja lucu atau ajaib tetapi juga yang mampu membentuk nilai, membina empati dan menyemai imaginasi.
Aktiviti seperti sesi bercerita interaktif, bengkel ilustrasi buku kanak-kanak atau program galakan membaca boleh dilaksanakan di perpustakaan, taman permainan dan sekolah. Dalam semua usaha ini, kanak-kanak tidak dipaksa membaca sebaliknya mereka dijemput masuk ke dunia bacaan sebagai pengembaraan yang menyeronokkan.
Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) berpengalaman mengendalikan Temasya Bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKT) dan Sekolah Kebangsaan (SK).
Pendedahan didik hibur atau edutainment yang digunakan terbukti berkesan.
Golongan remaja pula sering terperangkap antara kehendak diri dan tekanan sosial. Maka, bahan bacaan mereka tidak boleh bersifat menghakimi atau dogmatik. Kita yang pernah melalui alam remaja pasti menyedari hakikat ini kerana pernah turut mengharungi situasi sama.
Remaja memerlukan ruang untuk membaca, memahami dan bertanya.
Kelab buku di sekolah menengah dan pusat komuniti boleh menjadi ruang perbincangan bagi remaja, mereka bukan sekadar menganalisis teks seperti dilakukan di bilik darjah tetapi membincangkan isu-isu semasa, identiti dan masa hadapan berdasarkan bahan bacaan.
Buku-buku oleh penulis tempatan yang menangani isu seperti kesetiaan, pencarian makna hidup dan konflik generasi sangat wajar diketengahkan.
Alam remaja adalah peralihan daripada alam kanak-kanak kepada dewasa. Maka, bahan bacaan yang sesuai serta mampu menjadi pembimbing kepada golongan remaja perlulah diperbanyakkan.
Sementara golongan dewasa yang terperangkap dalam kesibukan mengejar kehidupan dan komitmen keluarga, sering mengabaikan keperluan intelektual diri. Namun, budaya membaca boleh menjadi bentuk rehat jiwa dan juga alat untuk memahami masyarakat.
Tentulah rata-rata orang dewasa masih membaca tetapi apa yang dibaca kemungkinan besar merupakan bahan yang berkaitan dengan tugas dan kerja hakiki. Maka, tidak bolehlah dikategorikan sebagai pembacaan bagi merehatkan minda.
Masa yang terhad menjadi cabaran, khususnya bagi golongan dewasa yang bekerja atau sibuk menguruskan rumah tangga. Apa-apa pun, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tidak perlulah menunggu sehingga ada masa lapang berjam-jam untuk membaca.
Sebaliknya, manfaatkan setiap minit yang ada. Misalnya, sementara menunggu makanan tiba di restoran, menunggu mesyuarat bermula di pejabat, menunggu bas atau kereta e-hailing selepas waktu kerja. Malah, jika menonton televisyen, boleh sahaja manfaatkan waktu siaran iklan untuk membaca satu halaman buku cerita.
Warga emas juga jangan dilupakan. Sesungguhnya, membaca boleh menjadi terapi bagi mereka yang sudah kurang aktif dari segi pergerakan fizikal.
Buku boleh menjadi teman ketika sunyi dan bacaan boleh mengaktifkan daya ingatan serta merangsang pemikiran.
Galakkan orang tua membaca buku-buku yang pernah mereka baca pada zaman remaja. Pasti mereka akan kembali teruja kerana dapat mengembalikan ingatan dan kenangan zaman silam semasa membaca buku berkenaan sebagai anak muda.
Tradisi orang tua bercerita kepada cucu-cicit sudah semakin tidak kedengaran. Maka, jika ada warga emas dan anak kecil di rumah, cubalah wujudkan suasana yang membolehkan datuk atau nenek bercerita kepada cucu. Atau minta mereka saling membaca buku cerita yang mudah dan menarik.
Sekiranya usaha murni seperti disarankan ini digerakkan dengan ikhlas dan konsisten, menjelang hujung tahun ini, kita akan teruja melihat hasilnya. Tidak perlulah kita fikirkan tentang statistik membaca peringkat kebangsaan. Usah difikirkan juga jumlah buku yang dibaca.
Sebaliknya, kita akan menghargai jumlah masa yang dimanfaatkan untuk menikmati bahan bacaan. Jumlah cerita yang dikongsi secara spontan antara tiga generasi dalam keluarga dan ilmu yang sudah meresap dari helaian buku ke dalam minda.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










