KISAH mengenai Muafakat Nasional (MN) kembali mencuri perhatian apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar gabungan politik itu dihidupkan semula.
Cadangan tersebut tidak muncul dalam ruang kosong, sebaliknya lahir daripada perkembangan politik semasa yang semakin memperlihatkan keretakan dalam kalangan parti-parti politik Melayu, khususnya di Perlis.
Pergolakan politik di negeri itu menyaksikan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli daripada Pas meletakkan jawatan, sebelum tampuk kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan kepada Abu Bakar Hamzah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Krisis ini dikatakan berpunca daripada hilang kepercayaan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk tiga daripada Pas sendiri, yang didakwa menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak Istana Perlis.
Walaupun Pas masih menguasai majoriti kerusi DUN, parti itu memilih untuk tidak menyertai barisan exco kerajaan baharu. Keputusan ini memperlihatkan keretakan serius antara Pas dan Bersatu.
Dalam konteks inilah, cadangan Muhamad Akmal untuk menghidupkan semula MN dilihat sebagai refleksi keresahan terhadap perpecahan politik Melayu yang semakin ketara.
Selain isu Perlis, perkembangan lain turut mempengaruhi nada dan keperluan cadangan tersebut, termasuk keputusan mahkamah berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penolakan terhadap titah adendum dan hukuman berat yang dikenakan mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk kegembiraan terbuka segelintir pemimpin DAP yang dilihat melukai perasaan akar umbi UMNO. Situasi ini secara tidak langsung menyuburkan persepsi kekuatan politik Melayu semakin terhakis dan mudah dipengaruhi pihak lain.
Cadangan Muhamad Akmal itu kemudiannya disambut positif oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkan MN sebagai kunci kebangkitan semula perpaduan orang Melayu.
Namun, beliau meletakkan syarat utama, iaitu UMNO atau Barisan Nasional (BN) perlu keluar daripada kerajaan sedia ada. Pandangan tersebut selari dengan pendirian beberapa pemimpin tertinggi Pas yang menggesa UMNO dan Pas segera duduk semeja bagi membincangkan pengaktifan semula MN melalui mekanisme rasmi seperti penubuhan Jawatankuasa Perunding.
Realitinya, desakan agar UMNO keluar daripada kerajaan bukanlah perkara mudah untuk dilaksanakan, khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang bakal diadakan dilihat sebagai platform penting untuk suara akar umbi dizahirkan.
Sekiranya Pemuda UMNO benar-benar berani dan konsisten, resolusi tegas boleh dibawa bagi mendesak kepimpinan tertinggi membuat keputusan strategik demi hala tuju politik Melayu yang lebih jelas.
Sekiranya langkah tersebut berjaya direalisasikan, tidak mustahil kerjasama UMNO dan Pas dapat dibina semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Namun, usaha ini tidak seharusnya terhenti setakat dua parti.
Dalam kerangka yang lebih besar, penyatuan politik Melayu akan lebih kukuh sekiranya Bersatu turut dilibatkan sebagai sebahagian daripada gabungan MN. Penyertaan tiga parti utama Melayu ini berpotensi membentuk kekuatan politik baharu yang mampu menggantikan BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan dominan.
Lebih jauh daripada itu, MN juga boleh membuka ruang penyertaan parti-parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Gabungan yang inklusif dan berlandaskan kesederhanaan ini berupaya memperkukuh keharmonian antara kaum serta memastikan pembangunan sosioekonomi negara dapat diteruskan secara lebih terarah dan mampan.

PERLU IKHLAS
Namun, kejayaan MN tidak hanya bergantung kepada struktur gabungan semata-mata tetapi kepada kesungguhan, keikhlasan dan kematangan semua pihak yang terlibat. UMNO, Pas dan Bersatu perlu menjulang semangat ukhuwah Islamiah berasaskan prinsip wasatiyyah. Mereka wajib duduk semeja, melupakan perseteruan lama dan mengelakkan sikap saling curiga yang boleh menggagalkan usaha ini.
Rundingan tidak seharusnya dijadikan medan mengungkit dendam silam, sebaliknya fokus kepentingan ummah dan masa hadapan negara.
MN juga mesti berdiri atas prinsip demokrasi yang sihat, memberi ruang kepada perbezaan pandangan secara beradab dan ikhlas. Ketaksuban melampau terhadap pendirian politik masing-masing sehingga menafikan kepentingan perpaduan hanya akan merugikan bangsa. Politik berasaskan emosi dan amarah bukan sahaja melemahkan kekuatan Melayu-Islam, malah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan.
Hakikatnya, kewujudan banyak parti politik Melayu tidak membawa makna jika mereka terus bertelagah dan saling menjatuhkan. Perpecahan hanya menguntungkan segelintir pemimpin, bukan rakyat atau masa hadapan bangsa.
Dalam usaha menghidupkan kembali MN, cabaran dan tentangan pasti wujud, termasuk usaha halus melaga-lagakan pemimpin Melayu agar perpaduan terus gagal dicapai.
Justeru, gagasan ukhuwah Islamiah perlu diangkat melangkaui kerangka kepartian, demi maslahat ummah secara keseluruhan. Pemimpin Melayu perlu kembali menilai persoalan identiti, survival bangsa, agama dan tanah air yang semakin terdedah kepada kerakusan politik.
Kesedaran, keinsafan dan kepercayaan sesama pemimpin menjadi asas pembentukan politik baharu Melayu yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Seperti peringatan Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 46, perbalahan hanya akan melemahkan semangat dan menghilangkan kekuatan. Maka, kesabaran, kebijaksanaan dan kesatuan harus menjadi teras kepada usaha menghidupkan semula MN demi masa hadapan ummah dan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










