Melangkah ke hadapan dengan perpaduan, kejayaan

Melangkah ke hadapan dengan perpaduan, kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN baharu membuka lembaran baharu dalam hidup kita. Bersamanya datang harapan, doa dan azam untuk terus berusaha dengan lebih gigih, demi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang daripada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai rakyat, kita tentu mendoakan Malaysia kekal aman dan sejahtera serta terus berkembang maju. Keadaan sesebuah negara yang kucar-kacir dan tidak tenteram akan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan dan pembangunannya.

Hal ini akan mengakibatkan ramai rakyat menderita dan hidup dalam kesusahan.

Kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta urus tadbir kerajaan yang baik dan berkesan memberikan dampak yang sangat memberangsangkan kepada perkembangan ekonomi negara. Hal ini diterjemahkan melalui pengukuhan nilai ringgit Malaysia berbanding nilai mata wang utama dunia lain sehingga menjadi berprestasi terbaik di Asia pada tahun lalu.

Kita bersyukur kerana dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, namun perkembangan ekonomi negara tetap berjaya menunjukkan momentum positif hasil kecekapan dan dasar kerajaan dalam menguruskan ekonomi.

Sebagai rakyat Malaysia, kita juga mendapat banyak manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan bertujuan untuk membantu rakyat.

Malaysia juga mencapai banyak kejayaan yang membanggakan sepanjang 2025. Kecekapan Malaysia memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia. Hasil usaha kuat, Malaysia berjaya mengukuhkan peranan ASEAN sebagai kuasa serantau yang lebih dihormati.

Bukan mudah untuk berjaya, namun lebih sukar lagi untuk istiqamah berusaha mengekalkan kejayaan. Apa yang kita nikmati hari ini bukannya sesuatu yang datang bergolek secara tiba-tiba ke riba. Rentetan itu, kita tidak boleh bersikap alpa dan meniti langkah ke hadapan dengan semberono.

Segala kejayaan yang digenggam pada hari ini boleh hancur berkecai dalam sekelip mata sekiranya kita tersilap langkah. Justeru, jangan sampai kita gadaikan nasib anak bangsa hanya kerana mahu mengejar mimpi yang belum pasti.

Kita harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada penggal Parlimen ke-14, bila mana krisis demi krisis melanda politik negara sepanjang tempoh tersebut, mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada negara, khususnya dari sudut ekonomi. Akibatnya, ramai rakyat yang menderita.

 

TAHUN baharu 2026 membuka peluang untuk rakyat Malaysia bersyukur atas pencapaian negara selain terus berusaha mengekalkan kejayaan ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian sosial.

PERGOLAKAN POLITIK
Pada akhir 2025, berlaku pula kegawatan politik di negeri Perlis. Angin yang bertiup kencang sebelum ini membawa banyak khabar berita tentang pelbagai isu di negeri itu.

Yang menarik tentang krisis politik Perlis ialah ia berlaku akibat pergolakan dalaman parti sendiri apabila lapan orang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar daripada Pas.

Lebih menarik lagi, setelah Abu Bakar Hamzah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu, Pas mengeluarkan kenyataan yang ADUN daripada parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Keputusan tersebut sudah tentu membangkitkan persoalan mengenai status terkini hubungan di antara kedua-dua parti anggota PN yang sedang menerajui kerajaan Perlis serta bagaimanakah suasana persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis selepas ini.

Krisis pemerintahan yang berlaku di Perlis menunjukkan sebuah kerajaan negeri yang dahulunya dilihat begitu kukuh setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN masih boleh bergoncang hebat akibat pergolakan dalaman antara mereka.

Kini krisis dalaman di antara Pas dan Bersatu di Perlis berjangkit pula hingga ke peringkat Pusat dengan lontaran kenyataan-kenyataan pedas daripada pemimpin-pemimpin Pas pusat yang ditujukan kepada pemimpin Bersatu.

Hal ini diikuti pula dengan rentetan peletakan jawatan dalam PN oleh kepimpinan Bersatu, bermula dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada negeri-negeri PN lain, seperti Kedah, turut akan terjejas disebabkan perpecahan dalaman ini. Malah, negeri seperti Terengganu, yang mana PN menguasai semua kerusi DUN, juga tidak boleh dianggap selamat sekiranya berlaku perselisihan dalam PN atau Pas sebagaimana terjadi di Perlis.

Walaupun terdapat beberapa kenyataan daripada beberapa pemimpin Pas yang menyatakan komitmen terhadap kelangsungan perjuangan PN, namun ramai yang tertanya-tanya adakah hubungan mereka yang kini dilihat renggang akan kembali bertaut seperti dahulu?

Persoalan seterusnya ialah siapakah yang akan menerajui PN selepas ini dan adakah Pas dan Bersatu akan bertanding dalam PRU16 di bawah tiket PN seperti sebelum ini? Bagaimana pula dengan rundingan pembahagian kerusi, termasuk di negeri Perlis?

Walau bagaimanapun, krisis yang berlaku di Perlis ini mengingatkan kita semula kepada krisis politik 2020 di peringkat pusat. Ia sekali lagi menunjukkan betapa beruntungnya negara kerana mempunyai raja-raja Melayu yang masih mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat sesetengah keputusan dan tindakan yang bagi menyelesaikan krisis sekiranya masalah bertambah melarat seperti dahulu.

Semoga tahun baharu membawa kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan bersama-sama membina negara ini sambil mengelakkan perpecahan sesama kita.

Bersyukurlah dengan segala pencapaian kita selama ini dan berusahalah untuk melangkah lebih jauh dengan melakar kejayaan yang lebih cemerlang.

Selamat menyambut tahun baharu 2026. Semoga tahun ini membawa kesejahteraan kepada kita semua dan semoga Allah melindungi Malaysia daripada segala bencana dan mengurniakan kerahmatan ke atas negara yang kita cintai ini.

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×