Somaliland nafi tempatkan rakyat Palestin, pangkalan tentera Israel

Somaliland nafi tempatkan rakyat Palestin, pangkalan tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Wilayah Somaliland menafikan dakwaan ia bersetuju menempatkan rakyat Palestin yang dipindahkan atau menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera Israel sebagai balasan terhadap pengiktirafan kemerdekaannya oleh Israel.

Israel minggu lalu menjadi yang pertama mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, sekali gus mencetuskan bantahan di seluruh Somalia.

Pada Rabu, Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, dengan merujuk laporan risikan, memberitahu Al Jazeera  Somaliland sudah menerima tiga syarat daripada Israel melibatkan penempatan semula rakyat Palestin, penubuhan pangkalan tentera di Teluk Aden, serta menyertai Perjanjian Abraham bagi menormalkan hubungan dengan Israel.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Somaliland menafikan dua syarat pertama itu.

“Kerajaan Republik Somaliland dengan tegas menolak dakwaan palsu yang dibuat oleh Presiden Somalia berkaitan penempatan semula rakyat Palestin atau penubuhan pangkalan tentera di Somaliland,” menurut kenyataan kementerian itu di platform X.

Ia menegaskan perjanjian tersebut adalah bersifat diplomatik semata-mata.

“Dakwaan tidak berasas ini bertujuan mengelirukan masyarakat antarabangsa dan menjejaskan kemajuan diplomatik Somaliland,” tambah kenyataan itu.

Namun, penganalisis berpandangan pakatan dengan Somaliland amat menguntungkan Israel berikutan kedudukan strategiknya di Selat Bab el-Mandeb, berhampiran kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran dan telah berulang kali melancarkan serangan terhadap rejim itu sejak bermulanya perang di Gaza.

Somaliland mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral pada 1991 dan menikmati tahap keamanan yang jauh lebih baik berbanding Somalia yang bergolak, selain berjaya menubuhkan sistem pilihan raya sendiri, mata wang serta angkatan tenteranya.

Kedudukannya di sepanjang satu daripada laluan perkapalan paling sibuk di dunia turut menjadikan Somaliland rakan strategik penting kepada kuasa asing.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×