40 terbunuh, lebih 100 cedera tragedi sambutan Tahun Baharu di resort ski Switzerland

40 terbunuh, lebih 100 cedera tragedi sambutan Tahun Baharu di resort ski Switzerland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERN: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala lebih 100 lagi cedera apabila kebakaran besar memusnahkan sebuah bar yang sesak di bandar peranginan ski mewah Crans-Montana, Switzerland, ketika orang ramai menyambut ketibaan Tahun Baharu, menurut pihak polis.

Saksi kejadian menggambarkan suasana panik apabila orang ramai cuba memecahkan tingkap untuk melarikan diri, manakala mangsa yang mengalami lecuran dilihat berlari keluar ke jalan raya.

Polis, bomba dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian di resort popular itu yang dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Dunia Ski bermula 30 Januari selepas kebakaran tercetus pada awal pagi Hari Tahun Baharu.

Ketua Polis Kanton Wallis di barat daya Switzerland, Frederic Gisler berkata, pihak berkuasa menganggarkan sekitar 40 orang maut dan kira-kira 115 cedera, kebanyakannya parah.

Pada malam Khamis, kira-kira 400 orang menghadiri upacara keagamaan di Crans-Montana bagi memperingati mangsa, manakala kerajaan di Bern mengumumkan bendera akan dikibarkan separuh tiang selama lima hari.

“Ini merupakan antara tragedi paling buruk pernah dialami negara ini.

“Ia adalah satu bencana dengan skala yang belum pernah berlaku dan amat menggerunkan,” kata Guy Parmelin, yang memegang jawatan Presiden Switzerland bermula Khamis.

Seorang saksi, Alexis Lagger, 18, berkata, dia sedang berjalan bersama rakan-rakan berhampiran bar Le Constellation yang menjadi lokasi popular dalam kalangan anak muda dan pelancong apabila mereka ternampak asap serta api keluar dari premis itu lalu menghubungi polis.

“Saya benar-benar terkejut. Orang ramai berlari merentas api. Ada yang menggunakan kerusi untuk memecahkan tingkap,” katanya kepada penyiar awam Switzerland, RTS.

Dua wanita muda dari Perancis, Emma dan Albane, memberitahu BFMTV, mereka sempat melarikan diri daripada suasana panik sejurus kebakaran bermula.

Mereka berkata, lilin hari jadi yang diletakkan pada botol champagne dipercayai terlalu hampir dengan siling.

“Beberapa saat kemudian, keseluruhan siling terbakar,” kata salah seorang daripada mereka, sambil menganggarkan sekitar 200 orang berada di dalam bar ketika itu, kebanyakannya berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Seorang pelancong dari New York yang merakam api jingga terang menjulang tinggi dari bar memberitahu AFP, dia melihat orang ramai berlari sambil menjerit ketakutan.

Pihak berkuasa berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang tercetus sejurus sebelum pukul 1.30 pagi (waktu tempatan), namun menegaskan ia bukan berpunca daripada serangan.

Unit kecemasan hospital di Wallis dilaporkan penuh, manakala ramai mangsa dipindahkan ke hospital di seluruh Switzerland. Negara jiran turut menawarkan bantuan.

Lebih 30 mangsa dibawa ke hospital di Zurich dan Lausanne yang mempunyai unit rawatan lecur khusus, manakala enam lagi dipindahkan ke Geneva, menurut agensi berita Keystone-ATS.

Kesatuan Eropah memaklumkan pihaknya berhubung dengan pihak berkuasa Switzerland untuk menawarkan bantuan perubatan, manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beberapa mangsa cedera sudah menerima rawatan di hospital Perancis.

Pihak berkuasa Switzerland berkata, proses mengenal pasti mangsa sedang dijalankan dan memberi amaran ia mungkin mengambil masa beberapa hari atau bahkan beberapa minggu.

“Memandangkan Crans-Montana menjadi tumpuan pelancong antarabangsa, polis memaklumkan mangsa terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan,” katanya.

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata kepada penyiar Rete4, kira-kira 15 rakyat Itali cedera dalam kebakaran itu, manakala jumlah yang hampir sama masih dilaporkan hilang.

Sekurang-kurangnya dua warga Perancis turut dikenal pasti antara mangsa cedera, menurut laporan awal Kementerian Luar Perancis.

Bar Le Constellation mempunyai kapasiti 300 orang, selain 40 lagi di kawasan teres, menurut laman web rasmi Crans-Montana.

Bar tersebut dimiliki oleh sepasang suami isteri warga Perancis, menurut daftar perniagaan tempatan dan kenalan pemilik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×