SUDAH sampai masanya kita mengkaji dan melihat semula peranan dan kewujudan Dewan Negara, iaitu antara cabang yang wujud dalam sistem Parlimen.
Proses lantikan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berbeza. Dewan Rakyat dianggotai seramai 222 ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli–ahlinya dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun.
Parti yang memperoleh kerusi majoriti akan membentuk kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara.
Ini amat berlainan untuk Dewan Negara yang terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori iaitu 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli). 44 ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing–masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Perkara ini jelas termaktub dibawah Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.
Secara teorinya, ahli–ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang dikatakan menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing–masing perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial, merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan Orang Asli.
Mereka yang dipilih sebagai ahli Dewan Negara juga berpeluang untuk dilantik menjadi anggota jemaah menteri dengan menjadi menteri dan timbalan menteri.
Bagaimana rakyat hendak menilai keupayaan mereka memandangkan tidak dipilih melalui proses pilihan raya seperti kalangan ahli Dewan Rakyat? Tambahan pula, dengan keadaan ekonomi dan kewangan negara yang masih belum kukuh, adakah wajar melantik jemaah menteri dari kalangan ahli Dewan Negara serta menampung segala kemudahan gaji dan elaun mereka?
Semua persoalan ini serta banyak lagi persoalan lain perlu dikaji dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan, ahli akademik serta badan–badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada dalam negara kita.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah, & Undang – Undang (FSU),Universiti Sains, Islam Malaysia (USIM)










