PERIKATAN Nasional (PN) berada di persimpangan paling genting dalam sejarah politiknya. Gabungan yang sebelum ini dibangga-banggakan sebagai tunjang kestabilan politik Melayu, kini terbongkar rapuh, penuh perebutan jawatan dan pergeseran kuasa.
Konflik dalaman bermula apabila sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PN mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula terhakis. Beberapa pemimpin mula mengalihkan sokongan kepada Timbalan Pengerusi PN yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali gus menguji kesetiaan dan mengganggu keseimbangan kuasa.
Ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada September lalu, suasana berubah kecoh apabila laungan “turun Tan Sri” berselang-seli dengan “hidup Tan Sri” ketika Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden, sekali gus menyebabkan sesi berkenaan tertangguh selama beberapa minit.
Malah kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 semakin menghangatkan lagi ketegangan gabungan parti politik itu. Hanya Datuk Dr. Aliakbar Gulasan (Pas) memenangi kerusi Karambunai daripada 42 calon yang bertanding.
Sementara Bersatu menjadi calon paling ramai (33 orang), bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, malah 30 calonnya hilang deposit dengan 17 daripadanya memperoleh kurang daripada 500 undi.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang meletakkan tiga calon pula kesemuanya hilang deposit.
Ketegangan ini semakin meruncing sehingga peralihan Menteri Besar Perlis daripada wakil Pas kepada Bersatu memunculkan krisis di peringkat pusat. Akhirnya, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, membuka bab baharu dalam drama politik gabungan ini.
Peletakan jawatan Muhyiddin diikuti pengunduran dua pemimpin iaitu Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Setiausaha Agung PN serta Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak. Kesemua langkah ini bukan sekadar krisis parti tetapi pendedahan terbuka bahawa PN gagal membina gabungan politik yang kukuh dan berprinsip.
Apa yang sebelum ini disorok sebagai strategi dan keseimbangan kuasa kini jelas apabila PN dilihat dibina bukan atas asas kestabilan atau prinsip tetapi perebutan jawatan.
Gabungan yang mahu memposisikan diri sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada, rupa-rupanya masih terperangkap dalam politik lama iaitu siapa yang memegang jawatan, siapa yang mengawal parti dan siapa menentukan arah hala tuju. Sementara rakyat hanya menjadi pemerhati dan bukan fokus sebenar.
Pergolakan ini lebih mengejutkan kerana berlaku dalam parti teras. Sebagai tunjang gabungan, apabila Bersatu bergolak dan kepimpinannya runtuh menyebabkan seluruh PN kehilangan legitimasi untuk bercakap soal kestabilan atau tadbir urus. Gabungan yang gagal mengawal jantungnya sendiri sukar untuk menegaskan kredibiliti di mata rakyat.
Ketegangan dalaman PN juga menonjol dalam isu pembahagian kuasa negeri. Isu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mahu berkongsi kuasa mencerminkan persaingan terbuka antara Pas dan Bersatu.
Di tiga negeri majoriti Melayu ini, Pas dilihat lebih kukuh, manakala Bersatu berusaha mengekalkan cengkaman. Ketegangan ini bertambah apabila beberapa pemimpin Bersatu keluar atau menghadapi masalah, menunjukkan PN sedang bergelut untuk kekal relevan dan berkuasa, bukan sekadar menolak perkongsian kuasa.
Konflik ini mendedahkan ketidakmampuan PN untuk membina kepimpinan kolektif yang berfungsi, dengan setiap kem bergerak mengikut kepentingan sendiri sementara fokus gabungan terapung tanpa penyelesaian.
Naratif “PN prihatin rakyat” runtuh apabila realiti menunjukkan perkara yang diutamakan dalam gabungan ini ialah kuasa dan pengaruh. Perletakan jawatan Muhyiddin akibat perebutan kuasa juga mencipta preseden berbahaya yang mana tekanan politik dan permainan kem menjadi cara sah untuk menjatuhkan kepimpinan.
Sekiranya budaya ini diteruskan, PN akan terus bergolak setiap kali berlaku persaingan dal

PEMBANGKANG SEMAKIN LEMAH
Krisis ini melemahkan peranan PN sebagai pembangkang. Tenaga yang sepatutnya digunakan untuk membina dasar alternatif, mengkritik kerajaan secara konstruktif dan mendekati pengundi dihabiskan untuk memadam ‘kebakaran’ dalaman.
Dalam politik, kelemahan ini merupakan hadiah percuma kepada lawan.
Tambahan pula, PN gagal memahami realiti politik moden yang mana pengundi tidak lagi tertarik kepada slogan atau retorik semata-mata sebaliknya mereka menilai melalui disiplin, kestabilan dan kematangan mentadbir. Gabungan yang berpecah dari dalam tidak diyakini mampu mentadbir negara.
Krisis ini adalah amaran paling keras bagi PN. Gabungan tidak lagi boleh berselindung di sebalik imej moral atau retorik perubahan. Sama ada PN melakukan pembetulan menyeluruh atau terus membiarkan nafsu jawatan menguasai arah politiknya, keputusan itu akan menentukan sama ada gabungan ini relevan atau sekadar episod sementara dalam sejarah politik negara.
Dalam politik, gabungan yang gagal mengawal nafsu kuasanya sendiri sedang menandatangani surat kematiannya secara perlahan-lahan tetapi pasti.
PN mempunyai dua pilihan sama ada membina semula kredibiliti dan disiplin dalaman atau terus tenggelam dalam konflik yang melemahkan.
Masa hadapan gabungan bergantung pada sejauh mana pemimpin mampu menilai semula strategi, menstabilkan dalaman dan meletakkan rakyat di ‘pusat’ agenda mereka.
Tanpa tindakan segera, PN hanya akan menjadi sejarah sebagai gabungan yang gah di luar tetapi roboh di dalam.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










