SETELAH tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ditutup, debu kempen yang hangat kini mendap, meninggalkan tanggungjawab besar kepada kerajaan negeri baharu. Fasa politik kepartian berakhir, kini tiba masa untuk pentadbiran yang fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Kejayaan Sabah pasca PRN bergantung pada keupayaan kerajaan negeri membina kerjasama erat dengan Putrajaya. Hubungan ini harus dilihat sebagai ‘simbiosis strategik’ iaitu gabungan kuasa tanah dan sumber asli negeri dengan keupayaan fiskal, kepakaran teknikal dan akses pelaburan antarabangsa kerajaan persekutuan.
Sinergi ini penting untuk menyelesaikan isu kritikal seperti bekalan air, elektrik, infrastruktur industri di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau POIC Lahad Datu, serta pelaburan teknologi tinggi. Tanpa sokongan persekutuan, tanah industri luas mungkin kekal kosong atau gagal beroperasi dengan optimum.
Cabaran utama lain ialah pengurusan alam sekitar. Sabah, sebagai ‘paru-paru Borneo’, menghadapi ancaman bencana alam dan perubahan iklim seperti banjir di Penampang dan Kota Belud serta tanah runtuh di cerun bukit. Kerjasama dengan Putrajaya membolehkan akses dana, teknologi pemantauan bencana dan mekanisme seperti Ecological Fiscal Transfer (EFT), memastikan pemuliharaan hutan dan tadahan air tanpa menjejaskan pembangunan ekonomi.
Strategi ini menyokong pembangunan lestari, ekopelancongan dan pemeliharaan biodiversiti unik negeri.
Sinergi juga penting dalam pengurusan sumber mineral baharu seperti unsur nadir bumi, emas dan tembaga. Dengan kepakaran dan kerangka undang-undang persekutuan, sumber ini boleh dimanfaatkan secara lestari, mengurangkan risiko kerosakan alam sekitar dan memastikan ekonomi negeri terus berkembang tanpa menjejaskan ekologi.
Pasca PRN Sabah menuntut pemimpin mengetepikan sentimen politik sempit dan menumpukan kemaslahatan rakyat. Gabungan autonomi negeri dan kekuatan Persekutuan adalah formula ampuh untuk ketahanan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Warisan sebenar yang perlu ditinggalkan bukan sorakan kemenangan pilihan raya tetapi Sabah yang makmur, hijau dan selamat untuk generasi akan datang.-UTUSAN
DR. NURUL NADIAH MOHD. FIRDAUS & DR. ISMANIZA ISMAIL
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam










