Tabiat pemakanan sihat kunci kesihatan jangka panjang

Tabiat pemakanan sihat kunci kesihatan jangka panjang

MAKANAN padat nutrien lebih bermanfaat berbanding kalori kosong yang hanya menyumbang tenaga tetapi jika tidak dibakar, akan disimpan sebagai lemak, menyebabkan obesiti dan masalah kesihatan lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKURANGAN zat bukan sekadar isu kekurangan nutrien tetapi juga ketidakseimbangan  sama ada terlalu sedikit atau terlalu banyak nutrien. Ini bermakna seseorang boleh obesiti tetapi masih mengalami kekurangan zat. 

Satu daripada dua rakyat Malaysia berada dalam kategori ini.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2024 menunjukkan rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak gula, garam dan makanan berlemak tetapi terlalu sedikit buah, sayur dan susu. Diet sebegini meningkatkan risiko obesiti, penyakit jantung dan strok.

Makanan padat nutrien lebih bermanfaat berbanding kalori kosong yang hanya menyumbang tenaga tetapi jika tidak dibakar, akan disimpan sebagai lemak, menyebabkan obesiti dan masalah kesihatan lain kerana itu pentingnya pengambilan pelbagai makanan kaya nutrien seperti bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran dan protein tanpa lemak.

Pemakanan sihat bermula dari rumah. Kanak-kanak meniru tabiat pemakanan keluarga dan kesan kekurangan zat boleh membawa kepada masalah tumbesaran dan obesiti. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat makanan seimbang.

Menukar tabiat pemakanan tidak mudah kerana berkait dengan emosi dan faktor sosial. Lebih baik makan buah segar  sekiranya mengidam makanan manis atau ketika tertekan.  Ketika makan di luar, pilih makanan lebih sihat seperti sayur tambahan atau protein tanpa gorengan. 

Konsep Pinggan Sihat Malaysia dengan suku bijirin, suku protein, separuh sayur dan buah boleh dijadikan panduan mudah.

Selain itu, sokongan emosi daripada keluarga dan rakan membantu menjadikan perubahan lebih mudah. Diet sihat harus menyeronokkan dan berterusan. 

Perubahan kecil yang konsisten memberi impak besar. Rakyat Malaysia dapat membentuk tabiat pemakanan seimbang, meningkatkan kesihatan jangka panjang serta menikmati makanan secara lebih sihat dengan kesedaran, perancangan dan sokongan.

 

DR. LEE CHING LI

Pensyarah Kanan  Pemakanan dan Dietetik,

Fakulti Sains Kesihatan, 

Universiti IMU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×