AL MUKALLA: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penarikan keluar baki pasukannya dari Yemen, susulan tuntutan Arab Saudi supaya pengunduran dilakukan dalam tempoh 24 jam ketika ketegangan memuncak akibat serangan besar-besaran oleh kumpulan pemisah yang disokong Abu Dhabi.
Kementerian Pertahanan UAE berkata, pihaknya menarik balik pasukan antikeganasan atas kehendak sendiri.
Abu Dhabi sebelum ini menafikan penglibatan dalam kemaraan kumpulan pemisah berkenaan.
Majlis Kepimpinan Presiden Yemen dan Arab Saudi, pesaing utama UAE dalam mempengaruhi politik di negara termiskin di Semenanjung Arab itu kedua-duanya menuntut agar tentera UAE berundur.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi dan UAE, yang merupakan sekutu utama Washington, menurut Jabatan Negara AS.
“Rubio dan Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah Zayed Sultan Al Nahyan membincangkan situasi di Yemen serta isu lebih luas yang menjejaskan keselamatan dan kestabilan Asia Barat,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott.
Sebelum subuh, pakatan pimpinan Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi di Yemen melancarkan serangan ke atas satu penghantaran milik UAE di pelabuhan Mukalla, mendakwa ia membawa senjata untuk kumpulan pemisah.
Namun dakwaan itu dinafikan oleh UAE.
Rakaman AFP di pelabuhan tersebut menunjukkan berpuluh-puluh kenderaan tentera dan pikap yang diparkir, beberapa daripadanya hangus terbakar dan masih berasap.
Perkembangan pantas pada Selasa itu berlaku selepas pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE mara merentasi wilayah Hadramawt dan Mahra yang kaya dengan sumber sejak bulan ini, mencetuskan kekacauan baharu selepas perang saudara selama sedekad.
Kemaraan tersebut membangkitkan kebimbangan terhadap kebangkitan semula Yemen Selatan yang pernah wujud sebagai negara berasingan dari 1967 hingga 1990, selain memberi tamparan hebat kepada rundingan damai yang berjalan perlahan dengan pemberontak Houthi disokong Iran.
Tentera UAE memasuki Yemen sebagai sebahagian daripada pakatan pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi, yang menghalau kerajaan dari ibu kota Sanaa pada 2014 dan menguasai sebahagian besar negara itu.
UAE menarik keluar sebahagian besar tenteranya pada 2019, meninggalkan hanya sejumlah kecil pasukan di selatan yang dikuasai oleh gabungan pelbagai militia.
Pengunduran penuh itu menyusuli pertikaian terbuka yang jarang berlaku dengan Riyadh, yang menuduh Abu Dhabi memberi tekanan kepada pasukan STC untuk menjalankan operasi ketenteraan di sempadan selatan Arab Saudi.
“Langkah-langkah yang diambil oleh UAE dianggap amat berbahaya. Kerajaan menekankan sebarang ancaman terhadap keselamatan negaranya adalah garis merah,” menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi.-AFP










