Muhyiddin tawar jawatan Pengerusi PN tapi ditolak Pas

Muhyiddin tawar jawatan Pengerusi PN tapi ditolak Pas

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan menawarkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kepada Pas sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi ditolak.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sejak dahulu Presiden Bersatu itu mahu berbuat demikian dan turut menawarkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Pas.

Namun, katanya, Pas menolak tawaran tersebut dan selepas itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang lalu dipersetujui oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, keputusan Muh­yiddin untuk berundur menunjukkan sikapnya yang tidak mengejar jawatan dan sangat terbuka.

“Cuma dalam isu di Perlis, keadaan jadi tidak harmoni dan nampak macam ada pertembungan dengan Istana dan Pas, sikap pemimpin mereka yang terlalu mendesak-desak. Sebagai orang yang berjiwa besar, Muhyiddin melepaskan jawatannya.

“Ini bagi membuka laluan kepada Pas dan parti komponen lain di dalam PN. Hasrat Muhyiddin adalah untuk mengembalikan keharmonian di Perlis dan di peringkat Pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini,media melaporkan, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa 1 Januari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ia dipercayai berpunca dari hubungan antara Bersatu dan Pas yang bergelora di dalam PN ekoran tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis.

Mengulas mengenai pemakluman Muhyiddin di dalam kumpulan Whatsapp, Tun Faisal berkata, ramai dalam kalangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tidak bersetuju.

Jelasnya, pemimpin Bersatu mahu Muhyiddin terus menjadi Pengerusi PN kerana beliau merupakan pengasas gabungan politik itu dan sedang mengusahakan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan pelbagai parti lain.

“Tetapi apabila Muhyiddin kata keputusan beliau muktamad, ahli MPT menghormati keputusan beliau tetapi masih mahu beliau mempertimbangkan keputusan beliau,” katanya.

Sementara itu, Tun Faisal berkata, tiada keperluan untuk Bersatu mencadangkan nama bagi mengisi jawatan Pengerusi PN yang bakal kosong itu.

“Muhyiddin masih Presiden Bersatu dan menurut perlembagaan parti, kuasa eksekutif berada di tangan Presiden. Muh­yiddin juga masih ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Jika beliau bukan Pengerusi PN, beliau masih Timbalan Pengerusi PN seperti presiden parti komponen lain.

“Bersatu boleh menamakan tiga orang wakil untuk berada dalam MT PN. Kalau Muhyiddin dinamakan semula, beliau akan berada di jawatan Timbalan Pengerusi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×