RIYADH: Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yemen mengisytiharkan darurat dan membatalkan perjanjian keselamatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kumpulan pemisah yang disokong Abu Dhabi merampas kawasan wilayah yang luas.
“Perjanjian Pertahanan Bersama dengan UAE dengan ini dibatalkan,” menurut satu kenyataan, manakala dekri berasingan mengumumkan darurat selama 90 hari termasuk sekatan udara, laut dan darat selama 72 jam.
Pengumuman oleh Ketua Majlis Kepimpinan Presiden, Rashad al-Alimi dibuat selepas pakatan pimpinan Arab Saudi yang berperang di Yemen itu menyatakan sudah menyerang satu penghantaran senjata UAE yang didakwa ditujukan kepada kumpulan pemisah.
Pasukan Majlis Peralihan Selatan (SCT) yang disokong UAE mara dengan pantas di selatan Yemen sepanjang bulan ini, menguasai sebahagian besar wilayah Hadramawt yang kaya sumber serta kawasan luas di wilayah Mahrah yang bersempadan.
Alimi mengarahkan SCT menyerahkan kawasan dikuasai kepada pasukan disokong Arab Saudi, sambil menyifatkan kemaraan kumpulan pemisah itu sebagai satu ‘pemberontakan yang tidak boleh diterima’ dalam ucapan televisyen.
Pertembungan ini berisiko memecah-belahkan lagi kerajaan Yemen yang sedia berpecah, dengan pelbagai puak disokong kuasa Teluk kaya minyak iaitu Arab Saudi dan UAE.
Ia juga mengancam rundingan damai yang bergerak perlahan dengan pemberontak Houthi disokong Iran, yang menggulingkan kerajaan dari ibu negara Sanaa pada 2014, sekali gus mencetuskan campur tangan ketenteraan oleh pakatan pimpinan Arab Saudi.-AFP









