Lelaki bunuh sembilan individu termasuk empat anak kandung di Suriname - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh sembilan individu termasuk empat anak kandung di Suriname

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARAMARIBO: Seorang lelaki membunuh sembilan individu termasuk empat anak kandungnya sendiri dalam satu insiden keganasan yang menggemparkan di Richelieu, daerah Commewijne, kira-kira 25 kilometer dari ibu negara Suriname, di sini, Ahad lalu.

Menurut Polis Suriname, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas bertengkar melalui telefon dengan isterinya yang dilaporkan tidak lagi tinggal bersamanya.

Dalam kejadian tersebut, suspek dikatakan menyerang beberapa rumah di kawasan kejiranan menggunakan senjata tajam, menyebabkan kematian lima kanak-kanak dan empat orang dewasa, termasuk jiran yang cuba campur tangan untuk menghentikan tindakan suspek.

Jurucakap Polis Korps Suriname memaklumkan, suspek turut bertindak agresif terhadap anggota polis yang tiba di lokasi sebelum ditembak di bahagian kaki bagi melumpuhkan pergerakannya.

“Suspek berjaya ditahan dan kini menerima rawatan di hospital dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam insiden sama, dua lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak dan seorang dewasa mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di sebuah hospital di Paramaribo.

Polis memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk latar belakang suspek dan keadaan yang mendorong kepada tindakan ganas itu.

Sementara itu, Presiden Suriname, Jennifer Geerlings-Simons menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu tragedi yang sukar digambarkan serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya mendoakan kekuatan dan ketabahan buat semua yang terkesan dalam detik yang amat sukar ini,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Insiden berkenaan mencetuskan kejutan di negara kecil Amerika Selatan itu dan turut mencetuskan perbincangan awam mengenai isu kesihatan mental serta keperluan memperketat pemantauan terhadap individu berisiko tinggi dalam kes keganasan domestik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×