TEBING BARAT: Israel memusnahkan lebih 8,000 pokok, kebanyakannya pokok zaitun, di Tebing Barat dalam tempoh hanya seminggu.
Menurut dokumentasi yang dikeluarkan Kementerian Pertanian Palestin, tindakan itu menyebabkan kerugian kewangan mencecah AS$7 juta (RM28.3 juta).
Kementerian berkata, serangan itu dilakukan tentera Israel dan penduduk haram Yahudi bagi menjejaskan secara langsung sektor pertanian serta sumber keselamatan makanan di kawasan Palestin.
Menurut laporan itu, kebanyakan serangan tertumpu di Tebing Barat bahagian utara dan tengah.
Tentera Israel memusnahkan kira-kira 5,000 pokok zaitun di bandar Silat al-Harithiya, barat Jenin, dan 3,000 pokok zaitun lagi di Turmus Ayya, timur Ramallah.
Operasi sama turut memusnahkan 156 pokok zaitun di Mukhmas, timur Baitulmuqaddis dan 100 pokok ara di bandar Ramin dan al-Nazla al-Sharqiya, kawasan Tulkarm.
Kementerian Palestin menegaskan tindakan Israel ini memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk Palestin, mengancam keselamatan makanan dan memperburuk ketegangan di wilayah itu.







