NAIROBI: Kesatuan Afrika (AU) menolak sebarang pengiktirafan terhadap kewujudan Somaliland selepas Israel mengumumkan wilayah Somalia itu sebagai sebuah negara berdaulat, Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan, Ketua AU, Mahamoud Ali Youssouf menegaskan sempadan Afrika dihormati dan menyifatkan sebarang tindakan yang mengancam perpaduan, kedaulatan serta integriti wilayah Somalia sebagai berisiko menimbulkan preseden berbahaya yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan benua.
Katanya, AU menolak sebarang inisiatif atau tindakan untuk mengiktiraf Somaliland sebagai entiti bebas dan menekankan wilayah itu kekal sebahagian daripada Republik Persekutuan Somalia.
Somalia bertindak tegas menentang keputusan Israel yang menjadi negara pertama mengiktiraf Somaliland sebagai negara berdaulat dan bebas, menyifatkannya sebagai serangan sengaja terhadap kedaulatan negara yang boleh menjejaskan keamanan serantau. Beberapa negara lain turut mengutuk keputusan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pengiktirafan itu adalah selaras dengan semangat Abraham Accords, perjanjian normalisasi hubungan Israel dengan beberapa negara Arab, sambil menjemput Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdullahi, mengadakan lawatan rasmi.
Abdullahi pula menyifatkan langkah itu sebagai permulaan “perkongsian strategik” dan kesediaan Somaliland untuk menyertai Abraham Accords.
Tindak balas rakyat di Hargeisa, ibu kota Somaliland, menyaksikan orang ramai membanjiri jalan raya sambil membawa bendera wilayah itu bagi meraikan pengiktirafan bersejarah tersebut.
Bagaimanapun, tindakan itu dikecam Turkiye, Mesir dan Djibouti yang menegaskan sokongan penuh mereka terhadap kesatuan, kedaulatan dan integriti Somalia.
Penganalisis menyifatkan Israel memerlukan sekutu strategik di Laut Merah, termasuk kemungkinan operasi terhadap pemberontak Houthi di Yemen.
Somaliland dilihat sebagai lokasi strategik, selain membuka peluang ekonomi dan akses operasi berhampiran zon konflik, namun kekurangan pengiktirafan antarabangsa menjejaskan akses kepada bantuan, pelaburan dan pinjaman luar.










