Kambing boleh jadi pengawal rumpai

Kambing boleh jadi pengawal rumpai

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS), langkah proaktif diambil bagi mengurangkan penggunaan racun dan jentera untuk menghapuskan rumput dan tumbuhan renek yang tidak diingini.

Antara pendekatan yang mendapat perhatian sejak beberapa dekad lalu ialah penggunaan kambing bagi membersihkan rumpai dan semak-samun di tanah lapang mahupun di kawasan tidak rata.

Langkah menggunakan kambing dikatakan lebih mesra alam berbanding penggunaan racun rumpai dan bahan kimia. Hal ini demikian kerana racun dan bahan kimia akan menyerap ke dalam tanah dan kemudian mengalir masuk ke dalam sumber air seperti sungai dan tasik.

Secara semula jadi, kambing memiliki rasa ingin tahu, lincah dan cerdik. Haiwan ini  juga kuat makan serta tidak terlalu cerewet. Sifat semula jadi ini boleh dimanipulasi dan dimanfaatkan bagi mengatasi masalah rumpai.

Penggunaan kambing sebagai ‘senjata’ mengatasi masalah semak-samun turut mendapat perhatian kerajaan Portugal. Misalnya, pada Ogos 2018, lebih dua ratus ekor kambing dibawa untuk meragut semak-samun di pinggir hutan negara berkenaan.

Langkah itu bagi memastikan kebakaran hutan tidak dapat merebak dengan mudah ke kawasan sekitar kerana terdapat kawasan lapang selepas diragut kumpulan kambing berkenaan.

Di Middleton, Idaho, AS, terdapat sebuah syarikat bernama We Rent Goats yang mengkhusus dalam menyewakan kambing untuk meragut rumput dan tumbuhan renek di tanah milik persendirian atau di kawasan awam.

Menurut pasangan suami-isteri Matt dan Kim Gabica yang mengusahakan syarikat itu, pelanggan mereka terdiri daripada peladang, penternak, pengurus tanah awam, pemilik rumah dan pengurus padang golf.

Perniagaan ini yang beribu pejabat di Idaho turut menawarkan perkhidmatan di negeri-negeri jiran seperti Washington, Oregon, Montana, Utah dan Nevada.

Media melaporkan, sambutan diterima amat menggalakkan kerana penggunaan kambing didapati ada banyak kelebihan.

Binatang ternakan ini mempunyai enzim khas dalam air liur dan usus.

Hasilnya, kebanyakan tumbuhan beracun mampu diragut, dikunyah, ditelan dan dihadam oleh kambing.

Tumbuhan beracun yang menjadi kegemaran kambing ialah poison ivy atau jelatang, kochia, leafy spurge, hemlock, Russian olive, yellow star thistle dan knapweed.

Antara rumput yang menjadi masalah di sekitar Idaho ialah rush skeleton. Rumput ini tersebar menerusi benih dengan amat cepat. Kambing merupakan ‘lawan’ dan ‘senjata’ terbaik kerana mampu makan dan menghadam seluruh tumbuhan dan benih sekali.

Antara keistimewaan kambing adalah kemampuan menyesuaikan diri dan tidak menerima kesan buruk apabila termakan rumput dan tumbuh-tumbuhan beracun. 

 

BERBEZA DENGAN LEMBU DAN BIRI-BIRI

Laman sesawang We Rent Goats menjelaskan lembu dan biri-biri mengelak daripada makan pelbagai jenis rumput dan tumbuhan-tumbuhan beracun.

Kalau dimakan sekalipun, benih masih keluar melalui tahi dan boleh tumbuh subur.

Hal yang sebaliknya berlaku apabila kambing digunakan untuk makan rumpai dan tumbuhan beracun. Enzim dalam usus kambing membuatkan biji benih turut terhadam dan tidak akan tumbuh selepas keluar bersama-sama najis kambing.

Kambing-kambing yang digunakan oleh We Rent Goats adalah kacukan baka Boer, Sepanyol dan Kiko. Biasanya kambing betina sahaja digunakan dalam tugas meragut rumput dan tumbuhan-tumbuhan di tanah milik pelanggan. 

Anak-anak kambing berumur lebih sebulan juga biasanya menyertai ibu mereka untuk ‘turun padang’.

Kebanyakan rumput dan tumbuhan beracun serta tumbuhan berduri yang tidak disentuh lembu dan biri-biri tetap menjadi menu pilihan kambing. Tidak hairanlah kambing digunakan sejak ratusan tahun dahulu untuk membantu membersihkan tanah dan ladang secara semula jadi.

Jentera dan mesin sukar digunakan di atas tanah beralun dan tidak rata. Begitu juga di kawasan cerun berbukit-bukau. Kambing pula mudah mengakses kesemua kawasan ini tanpa sebarang masalah untuk membereskan misi dan tugas diberikan.

Biasanya, tapak kawasan akan diperiksa dahulu oleh pemilik kambing seperti Matt dan Kim Gabica dari We Rent Goats  untuk memastikan tempat itu selamat bagi pekerja mereka iaitu kumpulan kambing.

Selepas tinjauan dilakukan di tapak, maka mudahlah untuk menentukan jumlah kambing diperlukan. Bagi memastikan kambing tidak meragut tumbuhan di luar kawasan, pagar elektrik dipasang di sekeliling tapak tempat meragut.

Kambing sebenarnya makan tumbuhan dari atas ke bawah. Maknanya, pucuk-pucuk di bahagian atas dimakan sebelum beralih kepada batang dan daun-daun di bawah.

Perkara ini amat penting kerana kambing makan pucuk, bunga dan benih dahulu. Akibatnya, benih rumput dan tumbuh-tumbuhan tidak bertaburan di sekeliling, lalu tumbuh dalam masa beberapa hari selepas tapak berkenaan diragut.

Benih yang dimakan pula dihadam sepenuhnya dan tidak mampu untuk tumbuh apabila keluar dalam bentuk tahi. Hal-hal ini amat penting bagi memastikan penggunaan kambing sebagai peragut benar-benar memberi hasil positif yang diharapkan.

Sepanjang kambing-kambing ini ‘bekerja’ di lokasi, beberapa pekerja (manusia) melakukan kerja penyeliaan. Mereka memastikan kebajikan ‘pekerja’ (kambing) terjaga dan terpelihara setiap masa.

Tugas membersihkan sepenuhnya tapak atau kawasan daripada rumpai dan tumbuhan tidak diingini tidak dapat dibereskan dengan hanya sekali membawa kumpulan kambing peragut.

Hal ini demikian kerana tentu ada benih-benih yang sudah bertaburan di tanah dan akan tumbuh sendiri. Maka, kumpulan kambing perlu dibawa sekurang-kurangnya tiga kali bagi mendapatkan kesan terbaik.

Saya tertarik membaca pelbagai maklumat da berita bagaimana kambing dimanfaatkan sebagai ‘senjata’ mengatasi masalah rumput dan tumbuhan beracun di AS.

Teknik ini yang mesra alam pasti boleh dimanfaatkan di kawasan rumpai dan ladang-ladang di Malaysia. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penggunaan racun berbahaya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×