PETALING JAYA: Ringgit meneruskan momentum pengukuhan apabila mencapai paras 4.03 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi dagangan semalam, seterusnya mencatat nilai tertinggi baharu sejak Januari 2021.
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka pada 4.0300/0400 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan minggu ini pada 4.0300/0470.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, menjelang tahun 2026, ringgit dijangka kekal stabil dengan kecenderungan untuk terus mengukuh, namun pergerakannya tidak akan berlaku secara linear memandangkan mata wang itu amat sensitif terhadap hala tuju dasar monetari AS serta sentimen risiko global.
Ujarnya, mata wang tempatan dijangka berlegar dalam julat sekitar RM4.00 hingga RM4.15 bagi kebanyakan tempoh 2026, dengan beberapa episod turun naik selari perkembangan geopolitik dan dasar AS.
“Ringgit berpotensi mengukuh ke paras di bawah RM4.00 sekiranya dolar AS melemah dengan lebih ketara, selain disokong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih stabil, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menyokong aktiviti ekonomi domestik.
“Bagaimanapun, risiko kelemahan ringgit masih wujud sekiranya berlaku kejutan geopolitik global, kemerosotan perdagangan dunia atau penurunan harga komoditi yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan prestasi dagangan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, hala tuju dasar monetari AS kekal menjadi pemacu utama, khususnya sekiranya kitaran pelonggaran kadar faedah diteruskan pada 2026, yang lazimnya akan melemahkan dolar AS dan memberi ruang kepada mata wang serantau termasuk ringgit untuk mengukuh.
“Namun, sekiranya inflasi AS kekal degil dan dasar monetari terus ketat, dolar AS berpotensi pulih semula sekali gus memberi tekanan kepada ringgit.
“Pada masa sama, asas ekonomi Malaysia yang semakin kukuh turut menyokong prospek ringgit, termasuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, inflasi yang terkawal serta lebihan akaun semasa,” katanya.
Dalam pada itu, emas turut menunjukkan prestasi yang kukuh apabila terus didagangkan melepasi AS$4,500 seauns.
Pada pukul 3 petang semalam, emas global mengukuh pada AS$4,547.30 (RM18,383.10) seauns, sekali gus menghampiri harga jualan RM600 segram untuk emas campuran (916) seperti jangkaan.
Mengulas mengenai prospek emas, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, pergerakan ringgit mempunyai kaitan dengan perubahan permintaan emas di pasaran tempatan, namun harga emas dunia pada asasnya ditentukan dalam denominasi dolar AS.
Menurut beliau, perubahan dolar AS memberi kesan secara langsung kepada harga emas dunia termasuk di Malaysia, memandangkan hubungan antara harga emas dan dolar AS adalah songsang.
“Justeru, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS tidak semestinya menyebabkan harga emas meningkat, sebaliknya kelemahan dolar AS telah mendorong penurunan harga emas dunia, sekali gus meningkatkan permintaan pembelian emas di peringkat global dan tempatan.
“Sebaliknya, jika ringgit menyusut berbanding dolar AS, harga emas di pasaran tempatan akan menjadi lebih mahal walaupun harga emas dunia kekal pada paras yang sama, disebabkan kadar pertukaran yang lemah.
Mengulas lanjut mengenai jangkaan harga emas sehingga tahun depan, Mohd. Faisol menjangkakan harga emas berkemungkinan berada di bawah paras RM600 menjelang akhir tahun 2025.
“Walaupun trend kenaikan harga emas sepanjang tahun ini dilihat ketara, beliau berkata ia banyak dipengaruhi oleh dasar ekonomi Amerika Syarikat yang tidak menentu, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran ekonomi global,” katanya. –UTUSAN











