PENARAFAN universiti global terus menjadi topik perbincangan dalam landskap pendidikan tinggi. Ada pihak yang melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian universiti, manakala ada juga yang menilainya secara lebih berhati-hati, dengan menyatakan kebimbangan terhadap kaedah dan pendekatan yang digunakan.
Sistem penarafan universiti global bukanlah tanpa kelemahan. Ramai sarjana pendidikan tinggi mengingatkan penarafan lazimnya menggunakan pendekatan yang bersifat umum, seolah-olah ukuran boleh diguna pakai untuk semua universiti, sedangkan setiap institusi mempunyai sejarah, mandat dan misi tersendiri.
Pandangan ini penting agar penarafan tidak ditafsir secara sempit atau digunakan di luar konteks yang sepatutnya.
Antara kebimbangan yang sering dibangkitkan ialah kecenderungan penarafan memberi penekanan kepada indikator tertentu seperti hasil penyelidikan, bilangan sitasi, nisbah pelajar kepada staf dan reputasi akademik. Dalam masa sama, kualiti pengajaran, hubungan dengan komuniti dan impak sosial tidak sentiasa dapat diukur dengan menyeluruh.
Justeru, universiti perlu berhati-hati agar usaha meningkatkan prestasi tidak mengabaikan dimensi kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras pendidikan tinggi.
Namun demikian, persoalan yang lebih mendasar perlu ditimbangkan secara tenang dan objektif, adakah wajar universiti mengabaikan penarafan global sepenuhnya kerana keterbatasannya, sedangkan sistem pendidikan tinggi hari ini beroperasi dalam persekitaran global yang semakin terbuka, saling berhubungan dan berdaya saing?
Malaysia kini mempunyai lima buah universiti penyelidikan yang lebih awal penubuhannya dan kesemuanya berada dalam kelompok 153 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2026.
Universiti-universiti awam dan swasta lain juga menunjukkan peningkatan pencapaian dari tahun ke tahun. Pencapaian ini bukan sekadar angka tetapi terjemahan usaha berterusan warga universiti secara kolektif dalam memperkukuh kualiti akademik dan penyelidikan.
Sekiranya universiti-universiti ini memilih untuk tidak terlibat langsung dengan penarafan global, persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan dan kekuatan mereka dapat difahami masyarakat antarabangsa?
Hakikatnya, penarafan universiti global menjadi sebahagian daripada realiti struktur pendidikan tinggi dunia. Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2019, bertajuk Benchmarking Higher Education System Performance, penarafan universiti mempengaruhi cara pelajar memilih institusi pengajian, bagaimana rakan industri menilai potensi kerjasama serta bagaimana pembuat dasar meneliti kekuatan dan daya saing sistem pendidikan tinggi sesebuah negara.
Malaysia boleh berbangga apabila sebuah universiti tempatan berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Pencapaian ini wajar dilihat sebagai dorongan untuk terus memperbaiki mutu pendidikan tinggi negara, bukan sebagai matlamat akhir semata-mata.
PENARAFAN BAHASA GLOBAL PENDIDIKAN TINGGI
Dalam dunia yang semakin saling berhubung, penarafan universiti berfungsi sebagai bahasa global pendidikan tinggi menjadi rujukan awal untuk perbandingan pantas antara institusi, terutamanya oleh pelajar antarabangsa dan rakan strategik.
Walaupun metodologi penarafan berbeza, sama ada oleh QS, Times Higher Education atau badan lain, namun kebanyakannya menilai aspek seperti reputasi akademik, kualiti penyelidikan, kebolehpasaran graduan, hubungan industri dan jaringan antarabangsa.
Aspek-aspek ini sememangnya tidak mencerminkan keseluruhan misi universiti. Namun, tetap memberikan gambaran awal tentang kedudukan relatif sesebuah institusi di peringkat global. Oleh itu, universiti yang matang tidak menilai penarafan sebagai ukuran mutlak tetapi sebagai sumber maklumat untuk ditafsir secara kritikal dan digunakan bagi penambahbaikan berterusan.
Terdapat juga pandangan penarafan universiti global didorong oleh kepentingan komersial. Tidak dapat dinafikan organisasi penarafan beroperasi secara profesional dan mempunyai model perniagaan tersendiri. Dalam masa sama, banyak indikator penarafan dibina berasaskan data awam, pangkalan data penerbitan antarabangsa, serta tinjauan reputasi yang melibatkan komuniti akademik global.
Seperti yang dihuraikan Ellen Hazelkorn dalam karyanya Rankings And The Reshaping Of Higher Education (2015), banyak universiti terkemuka menggunakan data penarafan sebagai alat refleksi strategik untuk memahami kedudukan, bukannya sebagai bahan promosi semata-mata. Yang penting ialah kebijaksanaan universiti dalam mengurus penarafan secara beretika, mengambil manfaat daripada maklumat yang ada tanpa terjebak dalam manipulasi atau obsesi berlebihan.
Dari perspektif pelajar antarabangsa, penarafan sering menjadi rujukan awal sebelum keputusan dibuat. Kajian OECD (2019) menunjukkan penarafan digunakan sebagai antara cara mengurangkan ketidakpastian dalam memilih institusi di negara asing. Mengabaikan hakikat ini bererti menafikan realiti cara generasi muda membuat pilihan dalam dunia yang penuh dengan pelbagai alternatif.
Bagi universiti di Malaysia, isu penarafan bukan soal prestij semata tetapi berkait keupayaan menarik bakat terbaik, membina kerjasama penyelidikan bertaraf antarabangsa dan memperkukuh ekosistem inovasi negara. Semua ini menyumbang pembangunan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.
Pada masa sama, mengambil berat tentang penarafan global tidak bermakna universiti mengorbankan identiti dan tanggungjawab sosialnya. Universiti mesti terus berakar dalam masyarakat, memacu penyelesaian masalah sebenar dan melahirkan graduan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi rohani dan intelek, sejajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam konteks pendidikan tinggi negara, usaha memperkukuh reputasi antarabangsa berjalan seiring dengan komitmen terhadap pembangunan komuniti.
PEMBANGUNAN KOMUNITI & MISI UNIVERSITI
Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai Program Bangsa Johor Bahagia yang mendapat perhatian dan sokongan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, selaku Canselor, menjadi gambaran universiti tempatan terus berperanan membangunkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada peringkat nasional, program Pembelajaran Perkhidmatan Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM) menjadi mercu tanda peranan universiti dalam membangunkan komuniti, sekali gus mengangkat nilai kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
Perbincangan tentang penarafan universiti global perlu bergerak melangkaui polemik hitam putih. Pendekatan lebih matang ialah mengakui kewujudan, memahami keterbatasan dan menguruskannya secara strategik tanpa kehilangan jati diri. Penarafan universiti bukan ukuran mutlak kecemerlangan.
Namun, mengabaikan sepenuhnya bukanlah pilihan bertanggungjawab sebaliknya hikmah yang harus diamalkan universiti dalam menyeimbangkan realiti global dengan misi pendidikan, terkait nilai kemanusiaan dan tanggungjawab kepada masyarakat.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










