Kokain murah, penyeludup terpaksa ulang guna kapal selam dadah

Kokain murah, penyeludup terpaksa ulang guna kapal selam dadah

KEBIASAANNYA, kapal selam dadah akan digunakan sekali sahaja sebelum dimusnahkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Harga kokain yang semakin merudum di pasaran global memaksa sindiket pengedaran dadah menggunakan semula kapal selam haram atau narco-submarine yang sebelum ini ditenggelamkan selepas satu perjalanan.

Pegawai kanan Polis Kebangsaan Sepanyol menyatakan lebihan pengeluaran kokain menyebabkan lambakan bekalan, sekali gus menurunkan harga borong kepada sekitar 15,000 euro (RM71,505) sekilogram, hampir separuh daripada harga beberapa tahun lalu.

Kapal separa tenggelam yang digunakan untuk menyeludup kokain dari Amerika Selatan ke Eropah itu menelan kos pembinaan 600,000 euro (RM2.9 juta) dan sebelum ini hanya digunakan bagi perjalanan sehala sebelum ditenggelamkan di Lautan Atlantik.

Ketua Briged Narkotik Pusat Sepanyol, Alberto Morales berkata, kos dadah yang semakin rendah menyebabkan sindiket tidak lagi mampu menanggung kerugian dengan memusnahkan kapal tersebut, sebaliknya memilih untuk menggunakannya berulang kali.

Katanya, sindiket kini memunggah dadah di laut dan menyediakan platform pengisian bahan api supaya kapal selam berkenaan boleh kembali ke negara asal dan melakukan beberapa perjalanan bagi memaksimumkan keuntungan.

Sejak dikesan pertama kali di perairan Eropah pada 2006, sebanyak 10 kapal selam haram dikenal pasti atau dirampas pihak berkuasa Sepanyol, namun Morales percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi memandangkan garis pantai negara itu mencecah 8,000 kilometer.

Polis Sepanyol dan pegawai kastam merampas sebanyak 123 tan kokain tahun lalu, meningkat berbanding 118 tan pada 2023 dan 58 tan pada 2022, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara aktiviti penyeludupan menggunakan kapal selam.

Pihak berkuasa turut mengesan peningkatan mendadak dalam pengeluaran dadah sintetik di Sepanyol menyaksikan lebih banyak makmal haram hasilkan ekstasi, amfetamin dan metamfetamin dibongkar dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, menandakan perubahan landskap jenayah dadah di Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×