PHNOM PENH: Kemboja mendakwa Thailand meningkatkan serangan ketenteraan di kawasan sempadan yang dipertikaikan, walaupun kedua-dua negara sedang mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan sejak awal bulan ini.
Menurut pihak berkuasa Kemboja, konflik sempadan lama antara kedua-dua negara jiran itu kembali memuncak selepas gencatan senjata terdahulu gagal dipatuhi, sekali gus mengorbankan lebih 40 nyawa dan menyebabkan kira-kira satu juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Pegawai kanan Kemboja dan Thailand kini berada pada hari ketiga rundingan di sebuah pusat pemeriksaan sempadan, manakala menteri pertahanan kedua-dua negara dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi bagi mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa tentera Thailand telah melancarkan pengeboman berat di wilayah Banteay Meanchey pada pagi Jumaat, termasuk penggunaan jet pejuang F-16 yang didakwa menjatuhkan sehingga 40 butir bom di kawasan Kampung Chok Chey.
Media Thailand pula melaporkan bahawa pasukan Kemboja telah melancarkan serangan balas sepanjang malam di wilayah Sa Kaeo, menyebabkan beberapa kediaman awam mengalami kerosakan akibat bedilan.
Kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus kepada pertempuran terbaharu itu, dengan masing-masing mendakwa tindakan yang diambil adalah bagi mempertahankan diri serta menuduh pihak lawan menyerang orang awam.
Konflik berkenaan berpunca daripada pertikaian sempadan era penjajahan sepanjang kira-kira 800 kilometer yang turut melibatkan beberapa tapak runtuhan kuil, meskipun usaha pengantaraan oleh Amerika Syarikat, China dan Malaysia sebelum ini berjaya meredakan pertempuran buat sementara waktu.










