ALOR SETAR: Krisis politik Perlis diharap memperkukuhkan lagi kepercayaan ahli dan penyokong Pas serta mereka yang berada di atas pagar kerana dapat melihat sebuah parti yang tegas dan berdisiplin.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, tindakan tegas terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang terlibat dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar bukti ketegasan dan disiplin tinggi Pas terhadap pemimpinnya.
Katanya, akibat tindakan itu bukan sahaja terhadap tiga ADUN terbabit tetapi kesemua wakil rakyat Pas agar sentiasa kembali kepada kepimpinan parti dalam menangani apa juga isu terutama isu-isu besar.
“Dalam Pas semua memahami bahawa ADUN, ahli Parlimen dan kepimpinan setiap peringkat hatta ahli biasa tidak dibentuk mengikut sentimen dan emosi tetapi proses tarbiyah berteras al-Quran dan sunnah yang panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Haim Hilman, langkah Menteri Besar Perlis melepaskan jawatan adalah contoh kejayaan tarbiyah Pas kepada ahlinya kerana jawatan bukan kelebihan dan kebanggaan tetapi amanah yang sangat berat.
“Ketenangan beliau melepaskan kerusi nombor satu Perlis tanpa kata-kata yang sarat dengan api kemarahan, kebencian dan kekecewaan jelas menunjukkan jiwa besar dan sifat tawadduk beliau yang lahir dari ‘sekolah politik’ dan tarbiyah Pas.
“Pas tidak mengajar ahlinya mengejar jawatan dan tidak mengajar pemimpinnya mencintai jawatan. Sesungguhnya Pas mengajar pemimpinnya takut dengan amanah yang dipikul dan pada masa sama menuntut mereka tekun berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Ujar beliau, perjuangan Pas dalam politik bukan hanya untuk mentadbir dan memajukan negara tetapi menjadikan Malaysia tonggak utama kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serantau dan antarabangsa.
Katanya, parti itu menawarkan agamawan dan profesional yang mendapat pendedahan pendidikan dari universiti di dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang strategik dan kritikal.
“Ini jelas menunjukkan kesungguhan Pas untuk memberi tawaran terbaik buat Malaysia. Kami sedar orang muda tercari-cari sosok-sosok yang benar-benar ikhlas, bersih dan berwawasan,” katanya.
Situasi politik Perlis bermula dengan lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga dari Pas menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis menyatakan penolakan sokongan terhadap Menteri Besar sebelum tiga ADUN Pas terbabit dipecat keahlian dan Mohd. Shukri meletak jawatan secara sukarela atas faktor kesihatan. – UTUSAN











