PETALING JAYA: Cadangan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berhubung kedudukan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dibuat selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri dan bertujuan menyelesaikan isu serta masalah pentadbiran negeri.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, cadangan itu tidak melibatkan sebarang campur tangan dalam urusan dalaman Pas, sebaliknya tertumpu kepada urusan pentadbiran negeri.
Katanya, sebagai saksi pertemuan pemimpin Bersatu dan Pas di kediaman Mursyidul Am Pas, tiada sepatah perkataan daripada Menteri Besar Perlis yang menyentuh soal mencampuri urusan parti Pas.
“Cadangan Menteri Besar Perlis adalah untuk menyelesaikan isu dan masalah pentadbiran berkaitan pengagihan peruntukan kepada rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat berikutan pengumuman kekosongan DUN oleh Speaker DUN Perlis.
“Cadangan ini juga dibuat selepas merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tun Faisal berkata, pengumuman kekosongan kerusi DUN itu menyebabkan tiga ADUN terbabit membawa perkara berkenaan ke mahkamah, sekali gus menjadikan kedudukan mereka tergantung sehingga keputusan mahkamah dibuat.
Katanya, kerajaan negeri berharap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Menteri Besar Perlis turut mencadangkan supaya ketiga-tiga ADUN berkenaan diterima semula sebagai ADUN walaupun berstatus Bebas memandangkan mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
“Cadangan ini tiada kaitan dengan tindakan Pas terhadap ahli-ahlinya. Urusan Pas untuk menggugurkan atau memecat ahli adalah urusan Pas, manakala cadangan ini bertujuan menentukan kedudukan tiga ADUN supaya mereka dapat terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan ‘menang-menang’ melalui perbincangan secara ‘adik-beradik’ turut dicadangkan iaitu ketiga-tiga ADUN menarik balik saman terhadap Speaker, manakala Speaker menarik semula keputusan mengenai kekosongan kerusi bagi manfaat rakyat di kawasan terlibat.
“Sekiranya cadangan penyelesaian itu tidak dapat dilaksanakan, Menteri Besar Perlis akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan bagi membantu rakyat khususnya dari segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan,” katanya.
Tun Faisal berkata, semua pihak perlu bertabayyun serta mendapatkan maklumat tepat sebelum membuat tuduhan melulu dan menjauhi perbuatan yang boleh mencetuskan fitnah.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Menteri Besar Perlis supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain.
Beliau berkata, tiga bekas ADUN Pas terhenti keahlian kerana melanggar disiplin parti seperti yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Pas. – UTUSAN










