ISTANBUL: Seramai 115 individu yang disyaki anggota kumpulan Daesh ditahan di Turkiye kerana dipercayai merancang serangan sempena musim cuti hujung tahun, menurut Pejabat Pendakwa Raya Istanbul pada Khamis.
Pejabat itu memaklumkan pendakwa raya telah mengarahkan penahanan terhadap 137 individu, dengan 115 daripadanya berjaya ditahan setakat ini susulan risikan yang menunjukkan organisasi pengganas Daesh merancang serangan semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru.
Turkiye berkongsi sempadan sepanjang kira-kira 900 kilometer dengan Syria, di mana kumpulan bersenjata masih aktif.
Washington baru-baru ini menyalahkan seorang penyerang bersenjata Daesh bertindak sendirian atas serangan di Palmyra, Syria, pada 13 Disember lalu yang mengorbankan dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan seorang orang awam warga AS.
Pada minggu ini, agensi perisikan Turkiye turut menjalankan satu operasi di kawasan sempadan Afghanistan–Pakistan, yang membawa kepada penahanan seorang warganegara Turkiye yang didakwa memegang peranan kanan dalam kumpulan Daesh.
Individu tersebut, Mehmet Goren yang kini telah dipindahkan ke Turkiye, dituduh mengatur serangan berani mati yang menyasarkan orang awam di Afghanistan, Pakistan, Turkiye dan Eropah.










