RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecam keputusan Israel meluluskan 19 penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki, menyifatkannya sebagai langkah memperkukuh kawalan ke atas wilayah Palestin.
Pengumuman itu dibuat pada Ahad lalu oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich selepas mendakwa kelulusan tersebut bertujuan menghalang penubuhan negara Palestin.
Kementerian Luar Palestin yang berpangkalan di Ramallah berkata, kelulusan itu merupakan langkah berbahaya untuk mengetatkan kawalan kolonial Israel ke atas tanah Palestin, serta meneruskan dasar penempatan dan pengilhakan yang menjejaskan hak rakyatnya.
“Keputusan ini memberikan perlindungan politik untuk mempercepatkan penjajahan tanah Palestin, memperluaskan infrastruktur penempatan, di samping peningkatan kadar keganasan peneroka haram terhadap harta benda serta rakyat kami,” kata kementerian.
Langkah terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan penempatan yang diluluskan dalam tempoh tiga tahun lalu kepada 69, menurut pejabat Smotrich.
Tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur, yang diduduki pada 1967, lebih 500,000 warga Israel kini menetap di Tebing Barat, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Pejabat Smotrich mendakwa, 19 penempatan yang baharu diluluskan terletak di kawasan ‘sangat strategik’, dengan dua daripadanya di Ganim dan Kadim di utara Tebing Barat, yang akan dibangunkan semula selepas dirobohkan kira-kira dua dekad lalu.
Pada masa sama, pasukan Israel memulakan perobohan kedai di sekitar kem pelarian Qalandiya di utara Baitulmuqaddis Timur, sebagai sebahagian daripada perluasann operasi ketenteraan di beberapa kejiranan Palestin.
Serbuan yang bermula awal Selasa turut merebak ke bandar berhampiran Kafr Aqab, di mana tentera dikerahkan dalam jumlah besar, melakukan pemeriksaan rumah ke rumah serta mengusir penduduk secara paksa dari kediaman mereka, menurut laporan media tempatan.
Tindakan Israel itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan perluasan penempatan Israel di Tebing Barat, kini mencapai tahap tertinggi sejak 2017.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini mengancam menarik sokongan Washington terhadap Israel jika negara itu mengilhak Tebing Barat.
Israel menjajah wilayah berkenaan sejak 1967, dengan keganasan meningkat ketara susulan tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.-AFP/AGENSI










