Rawat segera jerawat batu, kurangkan risiko parut

Rawat segera jerawat batu, kurangkan risiko parut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jerawat batu merupakan antara masalah kulit paling serius dan kerap dialami oleh kebanyakan individu.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah boleh memberi kesan terhadap keyakinan diri jika tidak dirawat dengan betul.

Pakar perunding dermatologi dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, rawatan jerawat batu berbeza berbanding jerawat ringan kerana ia melibatan keradangan lebih serius.

Lazimnya, ia memerlukan rawatan khusus seperti pengambilan antibiotik, isotretinoin atau suntikan.

Kaedah ini membantu mengawal bakteria, mengurangkan penghasilan minyak dan meredakan keradangan, sekali gus mencegah pembentukan parut kekal.

“Jerawat batu berada jauh di dalam kulit dan boleh menyebabkan kerosakan tisu yang lebih ketara.

“Jika dibiarkan, ia berisiko menghasilkan parut kekal yang berlekuk, timbul atau meninggalkan pigmentasi berlebihan.

“Oleh itu, rawatan awal dan pencegahan sangat penting bagi mengelakkan komplikasi termasuk kos rawatan dermatologi tinggi serta tempoh pemulihan panjang,” katanya baru-baru ini.

Kang Nien berkata, tempoh pemulihan jerawat batu bergantung kepada tahap keparahan.

Tanpa rawatan, keradangan boleh berlarutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Ujarnya, rawatan suntikan biasanya menunjukkan kesan dalam tempoh tiga hingga lima hari manakala rawatan oral pula khusus untuk kes yang lebih serius.

Ia mengambil masa sehingga dua minggu bagi mengurangkan antara 30 hingga 50 peratus jerawat.

Walaupun jerawat berjaya dikawal, parut yang terbentuk mungkin masih memerlukan rawatan tambahan bagi memperbaiki tekstur kulit.

“Jerawat batu bukan masalah kosmetik, ia adalah isu kesihatan kulit yang serius dan tidak wajar diabaikan,” katanya.

Selain rawatan profesional, penjagaan kulit harian juga memainkan peranan penting dalam mengawal jerawat.

Antara langkah asas yang disarankan termasuk mencuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari, menggunakan pelembap bersesuaian dan krim pelindung matahari.

Pemakanan seimbang termasuk mengurangkan pengambilan gula turut membantu menurunkan keradangan dan risiko pembentukan jerawat baharu.

 

Punca
Jerawat batu berlaku apabila folikel minyak atau sebaceous gland tersumbat.

Minyak yang sepatutnya keluar ke permukaan kulit terkumpul di dalam folikel, sekali gus mewujudkan persekitaran sesuai untuk pembiakan bakteria.

Ia sekali gus menyebabkan keradangan yang jauh lebih mendalam berbanding jerawat ringan seperti blackhead atau whitehead.

“Proses pembentukan jerawat lazimnya bermula dengan penyumbatan folikel minyak, kemudian berkembang menjadi komedon, seterusnya keradangan, akhirnya membentuk jerawat batu.

“Jika keradangan dibiarkan berpanjangan, kulit akan cuba sembuh sendiri, namun tisu yang rosak berisiko membentuk parut sama ada melekuk atau menonjol, bergantung kepada kedalaman keradangan,” katanya.

Beliau menegaskan cubaan memicit jerawat batu bukan sahaja tidak berkesan, malah boleh memburukkan keadaan dan meningkatkan risiko parut.

Selain faktor biologi kulit, beberapa faktor lain turut dikenal pasti meningkatkan risiko seseorang mengalami jerawat batu.

Antaranya ialah genetik, pemakanan dan gaya hidup yang boleh mempengaruhi keadaan kulit.

“Pemakanan dan gaya hidup memang memberi kesan kepada jerawat. Diet tinggi gula serta tekanan emosi boleh menjadikan jerawat lebih teruk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×