Masyarakat tanpa fitrah boleh jejas masa hadapan

Masyarakat tanpa fitrah boleh jejas masa hadapan

JENAYAH berat seperti rogol, pembunuhan dan aktiviti songsang mencerminkan keruntuhan nilai kemanusiaan akibat hilangnya kesedaran fitrah dan bimbingan agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENJAK kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai laporan melibatkan kes rogol bayi, pembunuhan kejam dan terkini aktiviti ‘songsang’ yang berleluasa. 

Berita-berita sebegini bukan sahaja meranapkan perasaan aman dalam kalangan rakyat, malah turut menggugat nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada kewujudan kita sebagai makhluk bermaruah.

Justeru, penting untuk kita kembali bertanya apakah erti hidup sebagai manusia? Apakah fitrah asal yang perlu dipegang? Dan bagaimana agama dapat menuntun kita kembali ke landasan yang benar?

Memuatkan artikel berkaitan…

 

FITRAH ASAS KEMANUSIAAN

Fitrah adalah sifat semula jadi manusia yang suci, cenderung kepada kebaikan, kasih sayang, tanggungjawab dan keadilan. Manusia tidak diciptakan untuk merosakkan, menzalimi atau menghancurkan sesama sendiri. Jika berlaku kezaliman, ia bukan sifat asli manusia tetapi hasil kerosakan akhlak, penyimpangan hati, pengaruh persekitaran, atau kegagalan membentuk sahsiah sejak awal.

Allah menciptakan manusia dengan kedudukan mulia, sehinggakan seluruh makhluk diperintah tunduk kepada Adam sebagai tanda kemuliaan ilmunya. 

Namun kemuliaan ini hanya kekal apabila manusia terus memelihara fitrahnya. Apabila fitrah dirosakkan atau diabaikan, manusia boleh jatuh lebih hina daripada haiwan yang tidak memiliki akal dan moral untuk membezakan baik mahupun buruk. 

Manusia yang merogol, membunuh atau menyakiti tanpa belas kasihan kehilangan hubungan dengan nilai fitrah, seterusnya menghakis sifat manusiawi dalam diri.

 

AGAMA SEBAGAI PANDUAN

Fitrah tanpa panduan mudah diselewengkan. Di sinilah agama memainkan peranan besar untuk menetapkan batas, menanam nilai, memperkukuh akhlak dan memelihara kemuliaan manusia.

Dalam Islam, setiap ajaran daripada ibadah, muamalat, akhlak, hinggalah undang-undang dibina untuk menjamin keselamatan jiwa, maruah, keturunan, akal dan harta. Apa sahaja yang merosakkan lima perkara ini dianggap sebagai dosa besar dan jenayah berat.

Rogol, zina, liwat, penderaan dan pembunuhan bukan sekadar salah di sisi undang-undang tetapi merupakan pelanggaran besar terhadap maruah manusia yang sangat dilarang agama.

Hukuman berat yang digariskan bukan bertujuan menindas, namun untuk melindungi masyarakat daripada kemudaratan serta mendidik manusia tentang nilai kesucian diri dan orang lain.

Agama bukan hanya menyuruh umatnya beribadah tetapi menuntut penganutnya memiliki hati yang bersih iaitu hidup dengan rasa malu, empati, belas ihsan dan takut kepada Tuhan. Orang yang benar-benar menghayati agama tidak akan sanggup menyentuh sesiapa tanpa hak, jauh sekali menganiaya atau meragut nyawa mereka.

Sebab itu, kembali kepada agama bermaksud kembali kepada nilai asas kemanusiaan yang sebenar.

Apabila kes rogol, pembunuhan dan aktiviti luar tabii semakin kerap berlaku, kita tidak boleh sekadar menyalahkan golongan tertentu sebaliknya perlu menilai punca keruntuhan nilai dalam masyarakat. 

Keruntuhan institusi keluarga penyebab utama anak-anak membesar tanpa kasih sayang, disiplin atau bimbingan agama berisiko terdedah kepada masalah tingkah laku. 

Keluarga adalah sekolah pertama dalam pembentukan akhlak, namun pengaruh media dan budaya hedonisme kini menghakis sensitiviti moral generasi muda melalui akses mudah kepada pornografi dan hiburan melampau. Rangsangan berlebihan tanpa bimbingan rohani menyebabkan hawa nafsu mengatasi pertimbangan akal.

Pendidikan juga perlu menekankan pembangunan sahsiah, empati dan pengurusan emosi, bukan hanya pencapaian akademik, bagi melahirkan individu berilmu dan berbudi. 

Masalah kesihatan mental, tekanan hidup, penyalahgunaan dadah dan kurangnya penghayatan agama sebenar turut menyumbang kepada perilaku terpesong, menjadikan nilai spiritual dan akhlak semakin terpinggir.

 

HIDUPKAN KEMBALI FITRAH 

Untuk menangani masalah jenayah berat, kita tidak boleh lagi bergantung undang-undang sahaja. Undang-undang menghukum setelah kemudaratan berlaku tetapi fitrah dan agama mencegah sebelum sesuatu perkara terjadi.

Beberapa langkah penting boleh diambil. Antaranya  melalui didikan agama dan akhlak sejak kecil mesti dipastikan dalam mendidik anak-anak kita.

Anak-anak perlu didedahkan dengan nilai murni, rasa hormat kepada maruah orang lain serta konsep dosa dan pahala. Pendidikan yang menanam integriti dan kesucian diri adalah benteng paling awal.

Selain itu, kita mesti hidup bermasyarakat, mengambil tahu susah senang jiran dan menjaga persekitaran sosial. Masyarakat perlu membina budaya menegur, menyokong, membantu dan memandang serius isu-isu moral. 

Dalam masa sama, jangan normalisasikan maksiat dan jenayah kecil kerana itulah benih kepada kerosakan besar.

Hidup kita ini mestilah sentiasa memperbaiki hubungan dengan Tuhan sebab hati yang dekat kepada pencipta akan merasa takut untuk menzalimi. Solat, zikir dan refleksi diri adalah ubat kepada hati yang keras dan nafsu yang liar.

Sementara, pihak berwajib mestilah serius dalam penguatkuasaan undang-undang yang tegas kerana keadilan mesti ditegakkan tanpa kompromi. Hukuman yang berat memberi mesej jelas yang maruah dan nyawa manusia tidak boleh dipermain-mainkan.

Bagi masyarakat bertanggungjawab akan sentiasa memberi sokongan sosial dalam membantu individu yang terdedah kepada trauma, kecenderungan ganas atau kecelaruan emosi. Pencegahan awal lebih efektif daripada merawat setelah berlaku kerosakan.

Seruan ini mengajak untuk kembali melihat tujuan kita diciptakan. Manusia tidak dicipta sekadar untuk memenuhi nafsu atau bertindak sesuka hati tetapi dengan kelebihan akal untuk berfikir, hati untuk merasa dan agama sebagai kompas moral.

Apabila hidup menurut fitrah, kita mengasihi dan melindungi, bukan menyakiti. Apabila menghayati agama, kita menjaga diri daripada dosa, menghormati sesama dan menjunjung nilai kemuliaan. 

Jika setiap individu memegang prinsip ini, nescaya masyarakat menjadi lebih aman, harmoni dan selamat.

Ingatlah, jenayah rogol dan pembunuhan bukan sekadar isu undang-undang tetapi gejala hilangnya sifat manusiawi. Maka, jalan penyelesaiannya ialah kembali kepada asas dengan menjadi manusia yang menjaga fitrah dan mematuhi agama. 

Akhirnya, marilah bermuhasabah. Dunia ini akan berubah apabila manusia berubah. Dan perubahan itu bermula di dalam hati yang mengingati Tuhan, mencintai kebaikan dan menghormati maruah sesama insan. 

Dengan itu  barulah kita benar-benar hidup sebagai manusia mengikut fitrah dan agamanya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini