KEBIMBANGAN terhadap arah tuju sistem pendidikan negara kini semakin mendesak. Apabila Perdana Menteri sendiri menyebut sistem pendidikan negara ‘cacat’ ia bukanlah kenyataan retorik politik tetapi teguran yang sangat bermakna dan tanda sudah tiba masanya untuk menilai semula apakah pendidikan kita benar-benar mendidik manusia atau sekadar menghasilkan tenaga kerja untuk ekonomi.
Insiden buli, rogol dan terbaharu kes pembunuhan melibatkan pelajar jelas memperlihatkan masalah pendidikan bukan sekadar kelemahan pengurusan sekolah tetapi krisis keinsanan.
Pelajar yang cemerlang akademik tetapi kosong nilai dan akhlak akhirnya menjadi mangsa sistem yang tidak membina jiwa. Di sinilah kita perlu jujur yang sistem pendidikan kita cemerlang dari segi penyampaian ilmu tetapi gagal dalam membentuk manusia.
Pendidikan seharusnya membina insan yang seimbang dari segi akal, jiwa dan moral. Namun sistem kita kini lebih menekankan pencapaian akademik, kemahiran dan kebolehpasaran.
Sekolah menjadi kilang yang melahirkan ‘pekerja berkelulusan bukan insan beradab.
Kita mengabaikan aspek rohani dan moral yang menjadi asas kepada pembangunan insan.
Maka tidak hairanlah apabila kita melihat pelajar yang hilang rasa hormat terhadap guru, rakan, malah diri sendiri. Nilai ta’dib (pembentukan adab) semakin pudar. Mereka dibesarkan dalam suasana yang menilai kejayaan hanya dengan gred dan sijil, bukan dengan akhlak dan budi. Itulah sebabnya pendidikan kita perlu dirombak, bukan sekadar dari segi struktur tetapi dari segi falsafah dan tujuan.
Dalam menghadapi pelbagai insiden pelajar membawa senjata dan melakukan kekerasan di sekolah, timbul cadangan untuk memperketat kawalan keselamatan menambah kamera litar tertutup (CCTV), malah mungkin selepas ini diusulkan pemasangan pengesan senjata seperti di lapangan terbang. Langkah ini mungkin boleh mencegah kejadian sementara tetapi bukan penyelesaian jangka panjang terhadap sistem pendidikan negara.
Kita tidak boleh menyelesaikan masalah keinsanan dengan teknologi. Menambah CCTV atau alat pengesan logam tidak akan memulihkan hati manusia yang kosong daripada iman dan takut kepada Tuhan. Pengawasan luar tidak akan berjaya jika pengawasan dalam muraqabah, kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati tidak wujud.
Kejayaan sistem pendidikan bukan yang mampu mengesan pelajar sebelum mereka berbuat jahat tetapi ‘menang’ dalam membentuk pelajar supaya tidak mahu berbuat jahat walaupun tiada siapa yang melihat. Inilah makna sebenar pendidikan akhlak iaitu melahirkan insan yang berbuat baik kerana takut dan cinta kepada Allah, bukan kerana diawasi oleh kamera.
Akar masalah ini sebahagiannya berpunca daripada warisan pendidikan kolonial yang memisahkan antara agama dan ilmu. Sistem kita terpecah-pecah dengan kewujudan sekolah kebangsaan, vernakular, swasta, agama, tahfiz, antarabangsa sehingga kanak-kanak membesar dalam dunia sosial yang berbeza tanpa nilai bersama yang kukuh.
Jika hal ini dibiarkan, bukan sekadar melahirkan pelajar tanpa adab tetapi juga mewujudkan jurang sosial dan perkauman yang semakin dalam.
Kita belum lagi menempuh perbalahan kaum besar akibat sistem pendidikan yang terpisah ini dan berdoa moga dijauhkan tetapi tanda-tanda awal sudah kelihatan apabila generasi muda yang tidak memahami atau menghargai kepelbagaian bangsa dan budaya kerana tidak pernah dididik bersama dalam semangat kebangsaan yang sejati.
Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menegaskan pendidikan mesti membebaskan manusia daripada kejahilan, bukan sekadar mempersiapkan mereka untuk mencari makan.
Namun, tokoh pemikir Islam, Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas melangkah lebih jauh dengan menyatakan tujuan pendidikan Islam ialah melahirkan insan beradab. Beliau menegaskan pendidikan bukan sekadar pengajaran atau penyuburan tetapi proses meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.
Dengan kata lain, adab bermaksud pengenalan dan pengakuan terhadap tempat yang betul bagi diri, ilmu, manusia dan Tuhan. Inilah inti falsafah pendidikan Islam yang hilang dalam sistem kita hari ini.
REFORMASI PENDIDIKAN
Pendidikan agama perlu kembali menjadi teras sistem, bukan pelengkap atau sekadar subjek moral. Ia bukan sekadar mengajar hukum dan ibadah tetapi membentuk pandangan hidup berasaskan tauhid.
Semua bidang ilmu seperti sains, teknologi, ekonomi serta seni harus diajar dalam kerangka tauhid agar pelajar memahami hubungan antara ilmu, nilai dan tanggungjawab moral.
Pelajar yang dididik dengan kesedaran muraqabah akan tahu Allah melihat setiap perbuatannya, sama ada di rumah, sekolah atau di media sosial. Mereka yang memahami ihsan akan melakukan kebaikan dengan penuh ikhlas, walaupun tanpa ganjaran duniawi.
Maka, reformasi pendidikan mesti bermula dengan perubahan falsafah iaitu daripada sistem yang berpusat pasaran kepada insan.
Guru pula tidak boleh dilihat hanya sebagai penyampai silibus. Mereka ialah muaddib, pembentuk adab, jiwa dan akhlak. Maka latihan perguruan perlu dirombak supaya guru memahami tanggungjawab sebagai pendidik yang membina manusia, bukan sekadar jurulatih akademik.
Guru yang berjiwa muaddib akan mendidik dengan kasih, mendisiplinkan dengan hikmah dan mengasuh dengan doa. Mereka bukan sekadar mengawal pelajar dengan undang-undang tetapi membimbing dengan hati.
Pendidikan yang berkesan bukan bergantung pada CCTV tetapi pada hati yang beradab samada guru mahupun pelajar.
Sejarah membuktikan tamadun Islam dibina atas asas ilmu dan adab. Ketika pendidikan menjadi medan penyucian jiwa dan pencerahan akal, maka lahirlah insan-insan besar seperti al-Ghazali, Ibn Sina, al-Razi dan al-Farabi. Mereka bukan sekadar cendekiawan tetapi manusia berakhlak tinggi yang memahami erti hidup dan tanggungjawab terhadap Tuhan dan manusia.
Sebaliknya, apabila pendidikan kehilangan roh dan nilai, menyebabkan masyarakat menjadi rapuh walaupun maju teknologinya.
Maka, reformasi pendidikan hari ini mesti berani mengembalikan roh tersebut dengan pendidikan sebagai jalan menuju kebenaran dan keadilan, bukan sekadar jalan menuju pekerjaan.
Kenyataan Perdana Menteri sistem pendidikan kita ‘cacat’ harus membuka mata semua pihak tentang apa yang perlu dibetulkan bukan sekadar silibus atau prasarana tetapi asas falsafahnya.
Kita tidak akan mampu melahirkan pelajar yang berakhlak hanya dengan memasang lebih banyak kamera, menambah peraturan atau memperketat hukuman.-UTUSAN
DR. Nik Roskiman Abdul Samad ialah Felo Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










