PETALING JAYA: Penggunaan isi rumah dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026, mencerminkan peralihan struktur ke arah pertumbuhan dalaman yang lebih mampan dan kurang bergantung kepada faktor luaran.
Menurut laporan Economic Pulse 2026 oleh IPPFA Sdn Bhd., ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.3 hingga 4.5 peratus pada 2026, disokong oleh penggunaan swasta yang lebih kukuh, pengembangan sektor perkhidmatan serta pembentukan pendapatan dalaman yang semakin stabil.
Firma itu berkata, peralihan ini menunjukkan ekonomi negara kini bergerak daripada fasa ketidaktentuan kepada pembaharuan, meskipun persekitaran global terus dicirikan oleh fragmentasi perdagangan, pemulihan tidak seimbang dan ketidaktentuan dasar yang berpanjangan.
“Pertumbuhan yang disokong penggunaan isi rumah telah mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap kejutan permintaan global serta turun naik perdagangan yang bersifat episodik.
“Antara pemacu utama pertumbuhan penggunaan ialah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang diunjurkan mampu menyuntik antara RM13 bilion hingga RM21 bilion ke dalam penggunaan swasta.
“Jumlah ini bersamaan peningkatan sekitar 1.0 hingga 1.7 peratus dalam kuasa perbelanjaan agregat isi rumah, dengan kesan limpahan merangkumi sektor pelancongan, runcit, pengangkutan serta makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi mata wang, IPPFA menjangkakan ringgit mengukuh ke sekitar RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026, disokong oleh imbangan luaran yang lebih kukuh, aliran masuk modal berterusan dan kejelasan dasar.
“Kestabilan ringgit ini membantu meredakan tekanan inflasi import serta memulihkan keyakinan pasaran, dengan pergerakan mata wang semakin mencerminkan asas ekonomi sebenar,” katanya.
Dalam aspek perdagangan, IPPFA berkata, Malaysia sedang membuat penyesuaian strategik di tengah fragmentasi global, dengan eksport berkembang ke pasaran bukan tradisional seperti Mexico, Kemboja dan Kenya.
Firma itu turut mengenal pasti Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–AS (ART) sebagai penambat kestabilan, dengan perdagangan dua hala diunjurkan mencecah AS$105.1 bilion menjelang 2028 dalam senario asas.
Bagaimanapun, IPPFA memberi amaran tekanan kos yang semakin meningkat ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya susulan kenaikan gaji minimum.
Menurut IPPFA, peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sebelum ini dianggarkan telah menaikkan kos operasi sebanyak 5.1 peratus dalam sektor perkhidmatan dan 3.8 peratus dalam sektor pembuatan, terutamanya bagi firma dengan tahap automasi rendah.
“Oleh itu, sokongan dasar yang bersasar diperlukan bagi meningkatkan produktiviti PMKS, termasuk melalui automasi, pendigitalan serta penstrukturan semula faedah bukan gaji bagi mengurus kos buruh keseluruhan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja,” katanya.
Secara keseluruhan, IPPFA berpandangan Asia akan kekal sebagai penambat utama pertumbuhan global ketika ekonomi Amerika Syarikat menyederhana dan ketidaktentuan dasar global berterusan.
“Keupayaan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan akan lebih bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan dasar domestik, khususnya dalam memperkukuh keupayaan dan produktiviti PMKS sebagai teras transmisi ekonomi dalaman,” katanya. – UTUSAN











