Di mana perpaduan jika masih tuntut UEC?

Di mana perpaduan jika masih tuntut UEC?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERPADUAN nasional sering dilaungkan sebagai asas pembinaan negara bangsa, namun komitmen terhadap prinsip itu wajar dinilai melalui dasar dan keputusan yang benar-benar menyatukan rakyat. 

Persoalannya, di manakah letaknya makna perpaduan jika tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus diangkat tanpa mengambil kira kerangka dan falsafah pendidikan kebangsaan?

Adakah kita sekadar berpura-pura bersatu padu, melaungkan slogan memperkukuh negara melalui perpaduan, namun pada masa sama masih menyokong dan mempertahankan UEC? 

Sepatutnya tuntutan ini tidak perlu dilayan sejak 1975 kerana tanah Malaysia terbina atas sejarah, pengorbanan dan perjuangan nenek moyang. 

Perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan kini dipersoal apabila sistem pendidikan terus bergerak dalam acuan yang berasingan. 

Ruang untuk mempelajari erti kesetiaan kepada negara turut terjejas apabila sejarah dan jati diri kebangsaan diketepikan. 

Malah, sukar untuk mendidik generasi muda mengenai makna perpaduan apabila mereka membesar di bawah bumbung pendidikan berbeza dengan sistem nilai dan rujukan yang tidak sehaluan.

Perpaduan tidak boleh dibina atas kompromi yang mengorbankan identiti negara. Ia menuntut keberanian untuk mempertahankan asas bersama demi masa hadapan Malaysia yang benar-benar bersatu.

Isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan sentiasa muncul semula, terutamanya setiap kali musim politik memerlukan sokongan tertentu. 

Umum perlu faham, isu ini bukan sekadar berkaitan pendidikan tetapi turut menyentuh soal identiti nasional, bahasa kebangsaan serta hala tuju negara.

Polemik berhubung UEC tercetus kembali susulan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang memaklumkan partinya akan bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan tuntutan pengiktirafan UEC.

Menurut Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, sistem pendidikan negara yang diwarisi sejak era penjajahan dikenal pasti sebagai antara punca utama cabaran perpaduan kaum terus berlarutan sehingga hari ini, meskipun negara hampir tujuh dekad mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, walaupun pendidikan sepatutnya menjadi instrumen terbaik untuk membina perpaduan nasional, realitinya sistem yang wujud hari ini masih memisahkan anak-anak mengikut aliran sekolah yang berbeza.

“Saya masih percaya pendidikan ialah alat terbaik untuk membina perpaduan. Namun, disebabkan kita mewarisi amalan politik dan sistem pendidikan berasaskan kaum sejak merdeka, maka cabaran perpaduan terus berulang hingga ke hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pemisahan aliran sekolah sejak usia muda menyebabkan kanak-kanak tidak berinteraksi secara semula jadi, sekali gus menjejaskan pembinaan kepercayaan antara kaum.

“Apabila kanak-kanak membesar tanpa saling mengenali, rasa percaya antara mereka menjadi rendah. Maka apabila timbul polemik, dengan mudah bertukar menjadi isu perkauman,” katanya.

Anuar turut mengkritik sikap segelintir ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap sentimen perkauman demi kepentingan peribadi.

“Lebih buruk apabila ada ahli politik yang sanggup menggunakan isu perkauman sebagai modal populariti. Mereka tidak jujur dan hanya menangguk di air keruh,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menjadikan pendidikan sebagai medium penyatuan akhirnya menyebabkan sistem berubah menjadi alat perpecahan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam isu UEC.

“Pendidikan yang sepatutnya menyatukan akhirnya menjadi alat memecahbelahkan. Itulah yang berlaku dalam kes UEC. Generasi terdahulu membina sistem pendidikan yang berasingan dan kita hari ini adalah hasilnya,” katanya.

Anuar turut mempersoalkan sama ada negara mahu terus mewariskan sistem pendidikan yang membina perpecahan kepada generasi akan datang.

“Adakah kita mahu mewariskan sistem yang sama kepada anak cucu, sedangkan sudah mengetahui keburukannya tetapi masih enggan berubah?” soalnya.

Beliau menegaskan sekolah satu aliran merupakan pendekatan terbaik untuk membina perpaduan sejak peringkat awal usia.

“Apabila anak-anak belajar, bermain dan makan bersama, barulah perpaduan dapat dibina secara semula jadi. Ia mungkin tidak mudah tetapi kita perlu memulakannya,” katanya.

Anuar juga menyatakan kehairanannya apabila masih terdapat pemimpin politik negara ini yang menyuarakan kesediaan untuk ‘berbincang’ dan ‘berunding’ berhubung tuntutan pengiktirafan UEC.

Menurut beliau, isu pengiktirafan UEC bukan perkara yang boleh diselesaikan melalui rundingan politik semata-mata kerana pensijilan itu didakwa jelas bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Disebabkan percanggahan tersebut, tuntutan pengiktirafan UEC tidak pernah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan semakan kehakiman, walaupun desakan dibuat sejak 1975.

“Mengapa mereka tidak membawa sahaja perkara ini ke mahkamah? Mengapa hanya mahu bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri?” katanya.

“Tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana sedar jika tuntutan pengiktirafan UEC dibawa ke mahkamah dan ditolak, UEC akan berkubur di negara ini, sekali gus menyebabkan ibu bapa mula sangsi terhadap tahap persijilannya dan beralih ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan atau sekolah antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki menegaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan digubal bagi memastikan keseragaman sistem pendidikan negara dengan matlamat melahirkan generasi yang bersatu padu, beridentiti nasional serta berdaya saing di peringkat global.

Menurut beliau, pengiktirafan UEC yang menggunakan kurikulum berbeza daripada sistem pendidikan kebangsaan berpotensi mewujudkan dualisme pendidikan yang boleh menjejaskan integrasi nasional.

“Dualisme ini berisiko melemahkan usaha kerajaan dalam membina perpaduan rakyat serta memperkukuh pembinaan negara bangsa,” katanya.

Muhamad Hisham berkata, PPMM menyokong penuh pendirian Perdana Menteri untuk tidak mengiktiraf UEC memandangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebarang usaha mengiktiraf sistem pendidikan yang tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bercanggah dengan roh Perlembagaan serta boleh menjejaskan usaha pembinaan negara bangsa.

Beliau menambah sistem pendidikan merupakan wadah paling penting dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, justeru pengiktirafan UEC hanya akan membuka ruang kepada pengasingan sosial dan budaya dalam kalangan generasi muda.

“Oleh itu, keputusan Perdana Menteri untuk tidak mengiktiraf UEC langkah tepat demi memastikan perpaduan nasional terus menjadi agenda utama negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghormati keputusan kerajaan dan tidak menjadikan isu tersebut sebagai modal politik, sebaliknya mengutamakan kepentingan jangka panjang negara.

“Kepentingan nasional harus didahulukan berbanding kepentingan kelompok tertentu. Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama mendukung sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras pembinaan negara bang

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×