FAM buat laporan polis isu dokumen palsu

FAM buat laporan polis isu dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).

Perkara itu disahkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang berlangsung di Wisma FAM, semalam.

Menurut beliau, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan.

Tegasnya, siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana pemalsuan dokumen tersebut boleh berlaku serta pihak yang bertanggungjawab, selaras dengan dapatan dan cadangan IIC.

“Kita akan buat laporan polis seperti saranan IIC yang menekankan supaya polis diberi ruang untuk menyiasat kes ini.

“Tentu sekali dalam masa terdekat untuk kita buat laporan polis dan kita akan membuat laporan bahawa berlaku pemalsuan dokumen yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita mahu siasatan mengenai bagaimana pemalsuan ini boleh berlaku, siapa yang bertanggungjawab buat pemalsuan dokumen seperti disyorkan IIC,” kata Yusoff.

Terdahulu, IIC dalam laporan penuh siasatan mereka mengemukakan tiga cadangan utama kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara.

Antara cadangan tersebut ialah FAM perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dan sewajarnya, termasuk mengesahkan kesahihan dokumen yang disyaki palsu serta mengenal pasti individu yang terlibat.

IIC turut menjelaskan bahawa kes berkenaan membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen rasmi yang merupakan satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan mencadangkan supaya Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Setiausaha Agung badan, Datuk Noor Azman Rahman mengikut keperluan proses sewajarnya.

Cadangan ketiga pula melibatkan aspek tadbir urus, di mana FAM disarankan untuk melaksanakan pengawasan serta reformasi struktur, selain mengambil langkah pencegahan dan pemulihan bagi menjaga kredibiliti badan induk bola sepak negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×