PETALING JAYA: “Kita tengok makna ‘celebrate’ di Negeri Sembilan”. Itu reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang seolah-olah bergembira dan mahu meraikan keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.
“Celebrate, Jom Yeo Bee Yin, berita baik untuk NS (Negeri Sembilan). Kita tengok makna celebrate di NS,” kata Jalaluddin menerusi akaun Facebook miliknya.
Ahli Parlimen Jelebu itu juga berkata, sebagai seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan, Bee Yin seharusnya menunjukkan kematangan dan empati, bukannya mengeluarkan kenyataan bernada sinis yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Proses keadilan adalah perkara serius dan tidak seharusnya dijadikan bahan sindiran atau diraikan atas nasib malang mana-mana pihak. Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya .
Jalaluddin berkata, kenyataan Ahli Parlimen Puchong itu hanya mengundang polarisasi dan menggugat usaha memperkukuh perpaduan nasional, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seorang wakil rakyat yang sering menyeru rakyat agar tidak berpecah-belah.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya ahli politik menghentikan politik kebencian dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada khidmat kepada rakyat, bukannya meraikan kejatuhan individu lain.
Terdahulu Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menerusi akaun Facebook membuat hantaran Another reason to celebrate this year end (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) selain menyertakan pautan laporan berita mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib hari ini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah. Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya.
Di Negeri Sembilan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersama membentuk kerajaan negeri dengan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 36 kerusi. Daripada jumlah itu BN mempunyai sebanyak 14 kerusi. – UTUSAN










