'Gencatan senjata Thailand-Kemboja dilakukan terburu-buru' - Utusan Malaysia

‘Gencatan senjata Thailand-Kemboja dilakukan terburu-buru’

Sihasak Phuangketkeow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Thailand mendedahkan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang kini terbatal dimeterai secara tergesa-gesa bagi membolehkan ia ditandatangani sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Meterinya, Sihasak Phuangketkeow berkata, deklarasi bersama itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada Oktober lalu tetapi digantung pada bulan berikutnya selepas beberapa isu belum diselesaikan dengan teliti.

“Kita tergesa-gesa untuk melaksanakan deklarasi kerana AS mahu deklarasi tersebut ditandatangani tepat pada masanya sempena lawatan Presiden Trump,” katanya.

Menurut Sihasak, walaupun tujuan utama adalah menandatangani perjanjian secepat mungkin, perbincangan yang lebih teliti diperlukan supaya setiap persetujuan benar-benar dapat dihormati dan dilaksanakan.

Katanya, perancangan tergesa-gesa itu menimbulkan risiko terhadap keberkesanan perjanjian serta kestabilan jangka panjang di sempadan kedua-dua negara.

Menteri Luar Thailand itu turut menyeru masa depan diplomasi serantau memberi penekanan kepada perundingan teliti bagi memastikan setiap perjanjian mempunyai asas yang kukuh dan dihormati semua pihak.

Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sebelum ini bertujuan meredakan ketegangan sempadan yang telah mengorbankan ramai pihak, namun kegagalan melaksanakannya menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kestabilan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Thailand dan Kemboja bersetuju mengadakan perbincangan lanjut minggu ini bagi menamatkan konflik sempadan yang mengorbankan ramai pihak, susulan rundingan krisis di Malaysia.

Sihasak berkata, perbincangan itu akan dijalankan di bawah rangka kerja Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) sedia ada, dengan mesyuarat dijadualkan pada 24 Disember ini.

“Perbincangan ini akan diadakan dalam rangka JBC, jawatankuasa sempadan bersama yang sudah wujud.

“Mesyuarat ini dijadualkan dan dicadangkan oleh pihak Kemboja pada 24 Disember,” katanya.

Beliau berkata, gencatan senjata bukan sekadar diumumkan secara rasmi, tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan di lapangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×