Perkep KL perkukuh jaringan kebajikan, santuni 190 penerima sumbangan

Perkep KL perkukuh jaringan kebajikan, santuni 190 penerima sumbangan

FADIL Marsus (tengah) menyaksikan pemeteraian nota kerjasama antara Nurashidah Ishak (kiri) dan wakil  Yayasan Al-Izuddin  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kuala Lumpur memperkukuh peranan kebajikan dengan memeterai Nota Kerjasama (NOC) bersama Yayasan Al-Izuddin (YAIZ) sekali gus menyantuni 190 penerima sumbangan.

Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur, Datin Nurashidah Ishak berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar acara penyampaian sumbangan, sebaliknya mencerminkan manifestasi nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.

Menurut beliau, kesejahteraan sesebuah masyarakat tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana kebajikan golongan memerlukan diberi perhatian, sokongan dan pembelaan berterusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, anak-anak istimewa khususnya hadir dengan keunikan tersendiri serta potensi besar yang mampu digilap sekiranya diberikan ruang, kefahaman dan sokongan berterusan daripada semua pihak.

“Golongan ini bukanlah beban kepada masyarakat, sebaliknya amanah dan anugerah yang menguji keikhlasan serta kepekaan kita sebagai insan. Tanggungjawab menjaga kebajikan mereka merupakan tanggungjawab kolektif, bukan terletak di bahu keluarga atau pihak tertentu semata-mata,” katanya berucap pada Majlis Prihatin Insani di Anjung Srikandi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau berkata, sumbangan yang disampaikan mungkin tidak mampu menyelesaikan segala kekangan yang dihadapi penerima.

“Namun hal ini diharap dapat menceriakan kehidupan seharian, meringankan beban serta menjadi tanda bahawa mereka sentiasa diingati dan dihargai,” katanya.

Majlis berkenaan melibatkan penyampaian sumbangan kepada 96 golongan asnaf dan 94 anak istimewa hasil kerjasama strategik Perkep Kuala Lumpur bersama YAIZ, MEDICAID dan Sri Ternak, sebagai usaha meringankan beban golongan memerlukan dalam kalangan warga polis dan masyarakat.

Nurashidah berkata, Perkep sentiasa komited menjadi pelengkap kepada usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga kebajikan keluarga anggota polis, khususnya isteri dan anak-anak, selaras dengan semangat kebersamaan dan kekeluargaan yang menjadi teras persatuan tersebut.

“Kerjasama strategik seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja melalui sumbangan kewangan dan barangan.

“Selain itu, ia boleh merangkumi sokongan emosi, pendidikan dan latihan bagi memperkasa golongan asnaf serta anak-anak istimewa agar mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini