JAKARTA: Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas sebuah bas ekspres terbalik apabila merempuh penghadang jalan di lebuh raya di Indonesia, awal pagi Isnin.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat tempatan, Budiono berkata, bas yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Yogyakarta itu dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi ketika melalui satu selekoh di persimpangan lebuh raya sebelum hilang kawalan.
“Bas berkenaan terbalik selepas melanggar penghadang jalan. Seramai 34 mangsa dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, 15 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Beberapa mangsa yang cedera dikejarkan ke bandar Semarang untuk rawatan lanjut.
Rakaman yang dikongsi pihak berkuasa menunjukkan anggota penyelamat memindahkan mangsa ke dalam beg mayat, manakala bas berkenaan kelihatan terbalik di bahu lebuh raya.
Kemalangan jalan raya sering berlaku di Indonesia disebabkan faktor kenderaan yang uzur, penyelenggaraan tidak memuaskan serta kegagalan mematuhi peraturan jalan raya.
Tahun lalu, 12 orang maut apabila sebuah kereta merempuh sebuah bas dan sebuah lagi kenderaan di lebuh raya sibuk ketika orang ramai dalam perjalanan menyambut Aidilfitri.










