PHNOM PENH: Lebih setengah juta penduduk Kemboja terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat dua minggu pertempuran sempadan dengan negara jiran, Thailand yang masih berterusan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja, jumlah keseluruhan penduduk yang dipindahkan kini meningkat kepada 518,611 orang.
“Kini, lebih setengah juta rakyat Kemboja, termasuk wanita dan kanak-kanak menghadapi kesukaran teruk akibat perpindahan paksa dari rumah dan sekolah bagi mengelak daripada serangan meriam, roket dan pengeboman udara yang dilakukan oleh pesawat F-16 Thailand,” kata kementerian itu.
Di Thailand, kira-kira 400,000 orang turut terpaksa berpindah akibat konflik sempadan yang kembali meletus, menurut pihak berkuasa Bangkok.
Pertempuran baharu antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu bulan ini, termasuk penggunaan kereta kebal, dron dan artileri mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang di Thailand dan 19 lagi di Kemboja.
Konflik itu berpunca daripada pertikaian wilayah berkaitan sempadan era kolonial sepanjang 800 kilometer dan beberapa runtuhan kuil purba yang terletak di kawasan sempadan.
Kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain sebagai punca pertikaian baharu, serta saling menuduh menyerang orang awam, selepas lima hari pertempuran pada Julai lalu mengorbankan puluhan nyawa.
China, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Malaysia selaku pengerusi ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera.
Menteri luar negara ASEAN, termasuk Kemboja dan Thailand dijadual mengadakan mesyuarat pada Isnin di Kuala Lumpur bagi membincangkan konflik tersebut.-AFP








