Lebih 5,000 mangsa banjir di PPS di Pahang, Terengganu

Lebih 5,000 mangsa banjir di PPS di Pahang, Terengganu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 mangsa banjir kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dan Terengganu setakat pagi ini dengan menjadikan Pahang kekal negeri paling terjejas.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 4,993 mangsa masih berada di 41 PPS di Pahang, yang dibuka sejak 16 Disember lalu menempatkan 1,687 keluarga membabitkan tujuh daerah iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Bera, Rompin, Maran dan Temerloh.

Sementara itu, di Terengganu, seramai 534 mangsa daripada 177 keluarga masih berlindung di lima PPS yang dibuka di Kemaman dan Dungun.

Dalam perkembangan berkaitan, data Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan dua sungai di Pahang melebihi paras bahaya setakat pukul 7 pagi tadi iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan (trend menurun) dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (trend menaik).

Di Sarawak, Sungai Nanga Lemai B di Sibu turut melepasi tahap bahaya sekitar pukul 6 pagi tadi, namun menunjukkan trend menurun. Beberapa sungai lain di Sarawak, Johor dan Selangor pula dikesan berada pada paras amaran dan waspada.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak sehingga jam 9 pagi hari ini.

Daerah terbabit termasuk Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu serta Miri (Subis). Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×