BANGKOK: Sebuah restoran kari terkenal di Bangkok mendedahkan seorang pelanggan warga asing menipu dalam cabaran makan untuk menuntut hadiah wang tunai sebanyak 20,000 baht (RM2,594).
Gold Curry, restoran popular yang terkenal dengan kari Jepun bersaiz besar, juga dikenali dengan cabaran makannya.
Restoran itu menawarkan hidangan percuma, baucar dan hadiah wang tunai kepada pelanggan yang dapat menghabiskan hidangan kari yang sangat besar dalam tempoh masa ditetapkan.
Ini termasuk cabaran hidangan percuma yang menetapkan peserta menghabiskan nasi kari seberat dua kilogram (kg) dalam 15 minit sehingga cabaran wang tunai 20,000 baht, dengan menghabiskan hidangan seberat lapan kg dalam 45 minit.
Pada 12 Disember, halaman rasmi Facebook Gold Curry berkongsi gambar mengucapkan tahniah kepada seorang lelaki warga asing yang berjaya menamatkan cabaran kari nasi seberat lapan kg dalam masa 40 minit.
Gambar itu menunjukkan kakitangan restoran menyerahkan hadiah wang tunai 20,000 baht kepada lelaki tersebut sebaik sahaja dia menghabiskan hidangan.
Bagaimanapun, pada 18 Disember, restoran itu mengumumkan pelanggan terbabit ditangkap menipu semasa pertandingan.
Restoran itu meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas timbul kebimbangan dalaman dan mendapati tingkah laku yang mencurigakan.
Restoran itu turut berkongsi klip rakaman CCTV dalam ruangan komen di hantaran Facebook mereka sebagai bukti.
Dalam video tersebut, lelaki itu dilihat memakan kari menggunakan tangan sambil beberapa kali memerhati sekeliling. Pada beberapa ketika, dia dilihat mengambil sebahagian nasi dan dengan cepat meletakkannya ke dalam poket seluar.
Restoran itu berkata, lelaki tersebut mengulangi perbuatan itu beberapa kali, membolehkannya menamatkan hidangan dengan baki lima minit.
Gold Curry memberi amaran kepada restoran lain, terutama yang menganjurkan cabaran makan, supaya berhati-hati dengan lelaki asing berkenaan.
Bagaimanapun, restoran itu tidak mengesahkan sama ada ia merancang untuk mengambil tindakan undang-undang atau menuntut semula wang hadiah tersebut.- AGENSI










