MAJLIS Perundingan Belia Negara (MPBN) bagi Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 telah berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur.
MPBN yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668], merupakan sebuah badan perunding yang berperanan membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia.
MPBN juga berfungsi sebagai platform intelektual yang menghubungkan pemimpin pertubuhan belia di peringkat negeri dan kebangsaan dengan wakil kementerian serta agensi Persekutuan, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan program pembangunan belia secara lebih strategik.
Tujuan penganjuran MPBN adalah seperti berikut:
- Menyediakan platform perbincangan yang konstruktif dan inklusif berkaitan pembangunan belia
- Menyampaikan suara serta pandangan golongan belia ke peringkat tertinggi kerajaan
- Memperkasakan pembangunan belia dari pelbagai perspektif agar memberi impak positif kepada negara
- Memperkukuh hubungan antara pertubuhan belia dan kerajaan dalam usaha melahirkan belia yang dinamik serta berdaya saing
Pelaksanaan MPBN ini turut mencerminkan hasrat dan komitmen kerajaan dalam penyediaan ruang yang lebih inklusif untuk belia menyuarakan pandangan terhadap isu serta cabaran semasa.
Usaha ini juga bertujuan memperkasakan peranan belia sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, seiring dengan matlamat Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030).
Kementerian Belia dan Sukan memahami kerisauan Majlis Belia Malaysia (MBM) tentang individu berumur 30 hingga 40 tahun selepas penguatkuasaan Akta A1602.
Satu kertas Kabinet telah dipertimbangkan dan Kabinet bersetuju agar semua kementerian, jabatan dan agensi terus mengekalkan sokongan dan bantuan kepada rakyat dalam kelompok umur ini.
Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) telah diberikan mandat menyelaraskan pelaksanaan dan pemantauan sokongan dan bantuan ini. – UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN










