RAUB: Tragedi pembunuhan kejam oleh Mona Fandey bukan sekadar kisah jenayah ngeri dan menyayat hati, tetapi turut menjadi simbol pertembungan antara mistik, politik dan hiburan yang menggegarkan negara lebih tiga dekad lalu.
Mona Fandey atau nama sebenarnya Maznah Ismail bersama suami, Mohd. Affandi Abdul Rahman dan pembantu pasangan itu, Juraimi Husin dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Mohd. Mazlan Idris pada Julai 1993.
Hingga kini, kejadian berlaku di Kampung Peruas, Ulu Dong itu terus menjadi buah mulut masyarakat kerana kisahnya luar biasa, penuh kontroversi dan meninggalkan kesan mendalam terhadap sejarah perundangan negara.
Tragedi ini mencetuskan perdebatan tentang pengaruh ilmu hitam dalam politik dan bagaimana media serta hiburan membentuk persepsi awam terhadap jenayah, yang akhirnya menjadi titik perubahan dalam sejarah perundangan Malaysia.

Penduduk setempat mengingatinya sebagai titik hitam yang mengubah landskap kampung apabila ia turut menjadi rujukan dalam kajian kriminologi dan budaya popular Malaysia.
Bagi penduduk, nama Mona Fandey bukan sekadar ‘legenda’ gelap, tetapi lambang satu era yang mana kepercayaan terhadap ilmu hitam dan pengaruh mistik masih berakar dalam kehidupan masyarakat.
Legitimasi yang tidak terpadam
Walaupun Mona Fandey menjalani hukuman gantung pada 2001, kisah wanita itu terus hidup dalam ingatan masyarakat. Daripada dokumentari, drama televisyen, sehinggalah ke perbincangan akademik tentang mistik dan kuasa. Kesnya menjadi titik tolak perdebatan tentang bagaimana kepercayaan tradisional boleh mempengaruhi keputusan politik dan sosial, menjadikannya refleksi tentang kuasa, pengaruh dan kepercayaan dalam masyarakat.
Tinjauan Mingguan Malaysia baru-baru ini mendapati, kediaman peninggalan Mona Fandey di Kampung Peruas, Ulu Dong, terbiar dengan dipenuhi semak-samun dan pokok ara sebesar pemeluk orang dewasa yang hidup gah di tengah ruang tamu, seolah-olah menjadi penjaga kediaman itu.
Anak saudara Mazlan, Norine Ab. Rahman, 73, yang tinggal di Kampung Peruas mengakui tragedi berkenaan amat sukar dilupakan.
Menurutnya, kisahnya bermula apabila bapa saudaranya itu menemui Mona Fandey yang mempunyai kebolehan ‘perbomohan’ bagi mendapatkan bantuan tertentu untuk meningkatkan kedudukan dan kerjaya politiknya.
“Saya tertanya-tanya melihat hubungan antara Mazlan dan Mona Fandey agak ‘pelik’ ketika dia mula berpindah ke kampung ini di tanah milik arwah serta kemudian membantu menyiapkan pembinaan kediaman di situ.
“Apa yang diceritakan arwah kepada saya, semua perbelanjaan membina kediaman ditanggungnya dan selepas itu arwah juga kerap kali datang bertemu Mona Fandey di situ,” katanya.
Norine berkata, dia pernah bertandang ke rumah Mona Fandey malah wanita tersebut turut datang ke rumahnya di Kampung Pamah Rawas kira-kira tiga kilometer dari kediaman tersebut.
“Mona Fandey sangat mesra dengan keluarga kami, tetapi lama kelamaan saya rasa ada yang tidak kena tentang kehidupan wanita tersebut bersama suami dan pembantunya.
“Sepanjang beberapa kali ke rumah Mona Fandey, saya hairan melihat tingkah lakunya banyak menjurus aspek perbomohan di mana ada sebuah bilik yang tidak ada sesiapa pun dibenarkan masuk ke situ,” katanya.
Melihat kepada peralatan perubatan di rumah itu membuatkannya berasa tidak sedap hati dan enggan lagi ke situ walaupun kerap kali diajak oleh Mona Fandey.
“Saya tengok kehidupan pasangan ini cukup mewah dengan membelanjakan wang pemberian Mazlan membeli kereta mewah Mercedes-Benz,” katanya.
Norine yang merupakan bekas guru tadika Kemas mempunyai empat anak berusia 42 hingga 47 tahun itu berkata, dia mula tidak mempercayai Mona Fandey apabila wanita itu pernah bersilat di belakang arwah suaminya yang menyedari tindakan tersebut.

“Suami saya menasihatkan supaya berwaspada dan meminta supaya tidak rapat dengan Mona Fandey kerana wanita itu mempunyai kebolehan tertentu yang membolehkan kita turut terjebak dengan perkara tidak elok.
“Saya turut menasihati arwah Mazlan supaya menjauhi Mona Fandey apabila dilihat sering ke rumah wanita itu dan bermalam di situ,” katanya.
Akhirnya, perkara yang tidak ingin berlaku, apabila berita kehilangan bapa saudaranya itu dilaporkan berlaku pada pertengahan 1993.
“Seingat saya setelah hampir 27 hari Mazlan dilaporkan hilang, akhirnya mayatnya ditemukan polis tertanam di kawasan rumah berkenaan selepas menahan Juraimi dan membuat siasatan termasuk saya turut dipanggil menjalani soal siasat pihak berkuasa dan mahkamah,” katanya.
Norine berkata, dia cuba melupakan kisah menyayat hati yang menimpa bapa saudaranya dan percaya bahawa dia antara mangsa bomoh wanita tersebut sekiranya terus kerap pergi ke rumah yang didiami Mona Fandey seperti yang dilakukan oleh arwah Mazlan.
Sementara itu, penduduk Kampung Pamah Rawas, Andak Abu Bakar, 51, yakin kedudukan terpencil Kampung Peruas membolehkan pasangan itu melakukan ritual dan perbomohan, termasuk unsur khurafat.
“Pada awalnya, pasangan itu kelihatan baik, mesra dengan penduduk dan kerap berbelanja, namun tingkah laku pelik dan hubungan rapat dengan wakil rakyat menimbulkan kecurigaan. Selepas kematian Mazlan, segala perbuatan jenayah mereka terbongkar, menggemparkan bukan sahaja Ulu Dong tetapi seluruh negara,” katanya.
Ambil iktibar, pengajaran
Pengerusi Majlis Belia Raub, Nur Amin Nor Azahar, 36, berkata, ibunya pernah bercerita, Mona Fandey pernah datang berbelanja barang keperluan dapur di kedai mereka, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita tersebut menunjukkan sikap peramah dan berbaik dengan penduduk.
“Saya masih kecil semasa kejadian itu malah tidak tahu di sebalik hubungan yang penuh misteri antara Mazlan dan Mona Fandey sehingga mukim Ulu Dong tercatat dalam sejarah kes jenayah berprofil tinggi meninggalkan kesan dalam kalangan keluarga arwah sehingga kini,” katanya.
Kejadian tersebut diharap menjadi iktibar kepada generasi hari ini dan umat Islam bahawa unsur ritual bercorak bid’ah dan khurafat bukan penyelesaian atau saluran yang betul bagi seseorang untuk mencapai cita-cita dan kejayaan.
Dalam tinjauan Mingguan Malaysia, keseluruhan kawasan sekitar rumah itu dipenuhi semak-samun, manakala dataran kediaman tersebut dilitupi lapisan daun kayu yang sudah reput dan melata dengan pelbagai jenis serangga.
Saya meremang bulu roma dan berasa seram mengenangkan kawasan tersebut pernah menjadi lokasi pembunuhan kejam, apabila mangsanya dipotong kepada 18 bahagian dan ditanam dalam lubang sedalam 1.8 meter.
Tiada papan tanda, tiada usaha pemuliharaan dan tiada pihak tampil mengambil tanggungjawab terhadap tanah itu termasuk dalam kalangan waris arwah Mazlan sendiri. Suasana sekeliling kawasan tersebut yang suram dan sunyi seolah-olah menyimpan rahsia ngeri yang enggan dilupakan oleh waktu.
Difahamkan kawasan itu dianggap ‘berat’ dan tidak digemari penduduk sekitar termasuk orang luar. Malah, ada yang menyatakan bahawa ‘Cina pun tak nak, kasi ribu, juta pun mereka tolak’, menggambarkan betapa kuatnya stigma terhadap lokasi tersebut.











