Formula ‘siapa menang, dia bertanding’ boleh bunuh MCA

Formula ‘siapa menang, dia bertanding’ boleh bunuh MCA

Datuk Ir. Lawrence Low Ah Keong (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus menggunakan formula ‘siapa menang, dia bertanding’ bersama Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang kerana pendekatan itu secara langsung menutup peluang MCA untuk bertanding, sekali gus memberi kelebihan besar kepada DAP.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low Ah Keong berkata, kebanyakan kerusi tradisi MCA bertindih dengan DAP, sekali gus menyebabkan MCA akan terus tersisih jika formula berkenaan dijadikan asas mutlak dalam pembahagian kerusi.

“Realitinya, MCA hanya menang dua kerusi pada pilihan raya umum lalu. Selebihnya, banyak kerusi bertindih de­ngan DAP. Apabila digunakan formula ‘siapa menang, siapa bertanding’, maka MCA langsung tidak ada peluang.

“Kalau BN terus berpegang kepada formula itu, MCA tidak akan dapat kerusi. Akhirnya, kerusi-kerusi itu akan banyak diberikan kepada DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya lagi, situasi itu bukan perkara baharu kerana te­lah berlaku sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.

Melihat kepada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan dan Terengganu, katanya lagi, MCA langsung tidak bertanding kerana kerusi-kerusi tersebut dimenangi DAP pada pilihan raya sebelumnya.

“Sudah lima tahun MCA tidak bertanding di enam negeri ini. Jika keadaan ini berterusan hingga pilihan raya akan datang, MCA akan menjadi parti yang tidak bertanding selama 10 tahun.

“10 tidak bertanding, lama-kelamaan masyarakat akan lupa pada MCA dan kita tidak boleh berdiam diri kerana MCA adalah parti politik, bukan parti kebajikan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya lagi, keadaan itu amat membimbMCAangkan kerana sesebuah parti politik hanya boleh kekal relevan jika diberi ruang untuk bertanding dan mendapatkan mandat rakyat.

“Parti politik mesti bertan­ding. Kalau tidak bertanding, akar umbi akan hilang semangat, ahli akan mula persoal sama ada parti ini masih relevan atau tidak,” katanya.

Katanya, sentimen tersebut kini semakin kuat disuarakan oleh akar umbi MCA di seluruh negara, khususnya selepas Perhimpunan Agung MCA lalu.

“Akar umbi menyuarakan kebimbangan yang sangat jelas. Mereka melihat MCA semakin terpinggir dalam Kerajaan Perpaduan walaupun kita adalah komponen BN. Sebab itu ada yang mendesak supaya kita keluar daripada BN demi kelangsungan parti kita,” katanya.

Berikutan itu katanya, ke­pemimpinan BN perlu memikirkan satu pendekatan baharu yang lebih adil kepada semua parti komponen, termasuk MCA.

“BN perlu lakukan sesuatu. Kita tidak boleh sekadar terima formula yang akhirnya mematikan salah satu parti komponennya sendiri.

“Kita bukan minta lebih, kita cuma minta peluang untuk bertanding sebagai sebuah parti politik yang sah dalam BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×