SEOUL: Seoul di Korea Selatan dinobatkan sebagai bandar termahal di dunia untuk aktiviti sosial dan riadah harian, sekali gus mengatasi bandar-bandar utama lain termasuk London yang tersenarai dalam kelompok 15 teratas.
Tinjauan oleh Time Out melibatkan lebih 18,000 responden di lebih 100 bandar di seluruh dunia itu memberi tumpuan kepada kos untuk keluar bersosial seperti makan di luar, minuman, hiburan malam dan tarikan budaya, berbanding perbelanjaan asas seperti sewa rumah dan barangan dapur.
Berdasarkan pengalaman penduduk tempatan, hanya sebilangan kecil warga Seoul merasakan aktiviti sosial masih mampu dibiayai.
Kajian mendapati hanya 30 peratus responden menganggap makan di restoran sebagai murah, manakala 21 peratus berpendapat hiburan malam tidak membebankan kewangan mereka.
Beberapa bandar di Eropah Utara turut mencatat skor kemampuan yang rendah, termasuk Oslo di Norway dan Stockholm di Sweden.
Oslo khususnya merekodkan tahap kemampuan paling rendah untuk makan di restoran, dengan kurang satu per empat penduduk bersetuju kosnya berpatutan.
Bandar-bandar di Australia dan Amerika Syarikat (AS) pula tidak terkecuali, apabila Sydney dinamakan antara bandar paling mahal untuk kehidupan sosial seharian, manakala Los Angeles berada dalam kedudukan tinggi berikutan kos makan dan hiburan malam yang meningkat.
Singapura berada di kedudukan ke-12 dalam senarai bandar paling mahal, manakala London di tempat ke-13.
Walaupun London menawarkan pelbagai tarikan percuma dan institusi budaya terkenal, penduduknya mengakui kos minuman dan aktiviti malam semakin membebankan.
Sebaliknya, bandar-bandar di Amerika Selatan mendominasi senarai paling mampu milik dunia, dengan Medellin dan Bogotá di Colombia menduduki dua tempat teratas, diikuti Beijing, New Orleans dan Naples, sekali gus menonjolkan perbezaan ketara kos kehidupan sosial antara bandar-bandar global.










