‘Pakat mai sini…
Pulau Pinang menanti
Batu Ferringhi, Padang Kota,
Naik beca pusing Komtar!
‘Pakat mai sini…
Pulau Pinang satu destinasi
Tengok pulau,
Tanjung Tokong,
Pesta Penang Sungai Nibong!’
Petikan bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu Pesta Pulau Pinang pasti menggamit kenangan bagi mereka yang pernah mengunjungi festival tahunan tersebut terutamanya sekitar 90-an dan awal 2000.
Bukan sahaja penduduk setempat, malah, Pesta Pulau Pinang juga berjaya menarik kehadiran pengunjung luar termasuk dari negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan Perak.
Dikhabarkan, ada pengunjung datang dari segenap pelosok negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor dan sebagainya. Malah, ada juga warga asing dari Thailand dan Singapura yang sanggup datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk merasai ‘kehangatan’ pesta berkenaan.
BERI LALUAN KEPADA PROJEK LRT
Bagaimanapun, ketika merasmikan Pesta Pulau Pinang bagi edisi ke-59 baru-baru ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan festival ikonik yang diadakan saban tahun sejak beberapa dekad yang lalu itu akan ‘direhatkan’ selama enam tahun.
Kata beliau, ini bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di lokasi berkenaan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dijalankan.
Secara ringkasnya, dalam erti kata lain, ia bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di kawasan itu.
Kon Yeow berkata, buat masa ini, kerajaan negeri juga belum memutuskan sama ada mahu meneruskan pesta tersebut dalam skala yang lebih kecil atau memindahkan lokasinya ke Seberang Perai sebagai satu alternatif baharu.
Ketika ini, umum mengetahui Pesta Pulau Pinang sebenarnya sudah sebati dengan penduduk Pulau Mutiara kerana telah bermula sejak 1966 di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum sebelum beroperasi secara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong bermula 1974.
Selain itu, pesta berkenaan turut menjadi simbol hubungan diplomatik melalui kerjasama dengan Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh di Indonesia selain Thailand.
Malah, dikhabarkan juga Pulau Pinang pernah mempunyai pavilion khas Pesta Pulau Pinang di Tapak Medan Fair di Sumatera Utara.
Justeru, apabila penganjuran pesta ini terpaksa dihentikan buat sementara demi pembangunan, pastinya kerajaan negeri telah memikirkan sedalam-dalamnya akan natijah terhadap perkara tersebut.
Ketika ini juga, ramai pihak yakin pesta tersebut bakal dilanjutkan, namun, antara persoalan utama yang timbul ialah, wajarkah tapak pesta berkenaan dialihkan ke Seberang Perai?
Bagi seorang penggiat seni tempatan, Omar Md. Hashim atau Omara, 71, Pesta Pulau Pinang sinonim dengan Pulau Pinang khususnya bahagian pulau.
Beliau yang terlibat secara langsung dengan pesta tersebut sejak awal 70-an berpendapat, pesta tersebut akan kurang serinya jika diadakan di kawasan seberang selepas ini.
“Saya sendiri walaupun tinggal di Seberang Perai, lebih suka jika Pesta Pulau Pinang itu kekal di pulau kerana nostalgianya ada di situ.
“Seperti lagunya (lagu Pesta Pulau Pinang), perjalanan menuju ke tapak pesta itu pasti akan menjadi satu memori indah yang akan terpahat pada setiap sanubari pengunjung.
“Menyeberang jambatan sambil melihat suasana pulau dari atas kenderaan atau menaiki feri sambil melihat pemandangan laut. Jika pesta dipindahkan ke seberang, sudah pasti pengalaman ini tidak akan ada,” katanya dalam satu temu bual menerusi audio siar, baru-baru ini.
Tambah Omar, beliau juga bersetuju seandainya lokasi penganjuran pesta dikekalkan di Sungai Nibong kerana Pesta Pulau Pinang juga sudah sinonim namanya dengan Sungai Nibong.
“Mungkin kita boleh buat (pesta) di belakang sedikit (daripada lokasi asal) walaupun dalam skala yang kecil dan jika dapat keizinan daripada tuan tanah. Apapun, kami berharap agar kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian terbaik kerana ramai juga yang ‘mencari makan’ ketika pesta ini,” katanya.
Bagi bekas pengurus pesta tersebut pula, Abdul Rahim Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Rahim Pesta, seandainya kawasan seberang masih menjadi pilihan, lokasi yang sesuai mungkin di pekarangan Stadium Batu Kawan.
“Tapi, pesta ini bangunan atau binaannya bukan bersifat kekal. Kena pasang khemah apa semua. Leceh. Jadi, kalau boleh diteruskan di sebelah pulau, Alhamdulillah.
“Lagi satu, pesta ini adalah identiti dan ikon kepada Pulau Pinang sejak sekian lama. Maka, saya harap ia akan diteruskan,” katanya yang menyimpan pelbagai memori sepanjang menguruskan pesta tersebut selama lebih 20 tahun iaitu antara tahun 1997 sehingga 2018.
PENULIS ialah Korespoden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










