Kerajaan kemuka permohonan lucut hak wang akaun bank Ilham Tower

Kerajaan kemuka permohonan lucut hak wang akaun bank Ilham Tower

ALLAHYARHAM TUN DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengemukakan permohonan untuk melucut hak wang dalam akaun bank milik Ilham Tower Sdn. Bhd. (Menara Ilham) dan seorang individu yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Pada 28 November lalu, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan dua notis permohonan di Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan Ilham Tower dan seorang wanita sebagai responden.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, permohonan itu telah difailkan mengikut Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili kedua-dua responden memohon supaya permohonan lucut hak itu ditangguhkan kerana terdapat permohonan serupa yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi.

“Prosiding di Mahkamah Tinggi melibatkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman bagi merujuk soalan-soalan berkaitan Perlembagaan Persekutuan mengenai keabsahan dan kesan Seksyen 36 Akta SPRM ke Mahkamah Persekutuan.

“Terdapat semakan kehakiman yang mana kebenaran telah diberikan berhubung penyitaan akaun-akaun berkaitan di bawah Seksyen 37 Akta SPRM,” kata peguam itu.

Nizamuddin turut mengemukakan permohonan untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara bagi menghalang pendedahan maklumat sensitif bersifat peribadi yang berpotensi menjejaskan kepentingan anak guamnya.

Antara butiran yang dimohon supaya tidak didedahkan ialah nama responden (individu), nama institusi perbankan, nombor akaun serta jumlah wang yang terkandung dalam akaun berkenaan.

“Sekiranya nama individu yang dikaitkan dengan sitaan dan pelucuthakan ini didedahkan, ia berupaya mendatangkan kesan yang sangat buruk terhadap responden terutamanya dalam urusan perbankan.

“Kami juga akan mengemukakan bukti bagi menunjukkan bagaimana pendedahan nama individu ini boleh membawa mudarat terhadapnya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berhujah, pihaknya tidak menganggap nama responden sebagai maklumat sensitif sehingga perlu disembunyikan.

“Tidak ada masalah untuk tidak mendedahkan maklumat berkaitan bank dan butirannya. Namun, nama responden pernah disiarkan oleh media sebelum ini.

“Ini merupakan kes berprofil tinggi dan masyarakat berhak untuk tahu. Oleh itu, saya tidak nampak apa rasionalnya untuk tidak membenarkan nama responden disiarkan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan ringkas kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan butiran akaun bank, nombor akaun dan jumlah tidak didedahkan berkuat kuasa hari ini sehingga 28 Januari ini (perintah perlindungan sementara).

Pada tarikh tersebut, mahkamah akan mendengar permohonan perlindungan kekal.

Mahkamah turut menetapkan 12 Februari 2026 bagi prosiding pewartaan pihak ketiga bagi membolehkan mana-mana pihak berkepentingan terhadap harta berkenaan hadir ke mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×