KAJANG: Polis masih belum mendapatkan keterangan daripada isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah serta dua anaknya berhubung siasatan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara, berikutan mereka dipercayai berada di luar negara.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil semakan rekod Jabatan Imigresen mendapati kesemua mereka telah meninggalkan negara sejurus selepas laporan polis dibuat.
Katanya, pihak polis telah cuba menghubungi mereka sejak awal siasatan namun mendapati ketiga-tiganya sudah berada di luar negara.
“Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan telah lengkap dan kini dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk arahan serta nasihat lanjut.
“Kita masih menunggu maklum balas untuk tindakan seterusnya,” jelasnya.
Pada 3 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didakwa didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media serta institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.
Siasatan awal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan dipercayai mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai serta menggugat kerajaan sedia ada. – UTUSAN










